Kerjasama Weststar-RTI Perkukuh Keupayaan Pertahanan Berdaulat Negara
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Kerjasama strategik yang dimeterai antara syarikat tempatan Weststar Defence Industries Sdn Bhd dengan Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI) dari Australia menyumbang kepada pembinaan keupayaan pertahanan negara yang berdaulat.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerjasama itu juga merupakan satu perkembangan penting dalam memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara, khususnya dalam pembangunan teknologi roket dan misil.
Beliau berkata kerajaan amat menyokong kerjasama berkenaan kerana ia selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) untuk memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan dalam pembangunan dan pengeluaran roket serta misil.
Katanya, kerjasama itu bukan sekadar melibatkan aspek pengeluaran malah turut merangkumi pembinaan kemudahan pengeluaran di Malaysia yang dijangka memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun lagi sebelum diperluaskan kepada pengeluaran misil pada masa depan.
“Pelaburan yang dilaksanakan oleh Weststar turut membolehkan Malaysia menyertai rantaian pembekalan global RTI, sekali gus membuka peluang kepada industri tempatan untuk berkembang dalam ekosistem pertahanan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perjanjian kerjasama itu dimeterai antara Pengasas dan Pengarah Urusan Weststar Group Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dengan Pengasas RTI Allan James Payne di National Convention Centre, Canberra, Australia, yang diadakan bersempena dengan lawatan kerja tiga hari Mohamed Khaled ke negara itu bermula Rabu lepas.
Mohamed Khaled yang merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Australia atas sokongan dan persetujuan yang diberikan terhadap kerjasama itu turut mengucapkan tahniah kepada Weststar atas keyakinan dan komitmen untuk melabur dalam bidang strategik berkenaan.
“Pelaburan ini bukan sahaja akan memberikan pulangan yang signifikan kepada industri pertahanan negara, malah merupakan pelaburan strategik ke arah memperkukuh keupayaan pertahanan negara yang berdaulat demi generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu semasa lawatan kerja tersebut, Mohamed Khaled bersama delegasi turut melawat Institute for Space, Defence and Advanced Technologies (ISDAT) di University of Southern Queensland (USQ) bagi meneroka keupayaan teknologi roket dan misil menerusi kerjasama antara industri dan ahli akademik.
Selain itu delegasi Malaysia turut meninjau kemudahan makmal pembuatan komposit lanjutan dan makmal hipersonik yang dibangunkan hasil kerjasama dengan beberapa syarikat industri pertahanan, termasuk RTI.
Turut menyertai lawatan itu ialah Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Lt. Jen. Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) Prof Shamsul Kamar Abu Samah.
Mohamed Khaled berkata semasa lawatan itu beliau dapat melihat bagaimana industri memanfaatkan kepakaran institusi akademik untuk membangunkan teknologi dan produk pertahanan negara itu.
Selain itu beliau turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia Richard Marles bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara serta meneroka peluang kerjasama strategik yang memberi manfaat bersama.
Beliau berharap hubungan pertahanan Malaysia dan Australia akan terus diperkukuh demi kepentingan bersama, di samping menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Mohamed Khaled bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datin Paduka Sharrina Abdullah diberikan sambutan rasmi di Parliament House, Canberra dan disambut oleh Speaker of the House of Representatives, Milton Dick.
Selain itu Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan bersama Milton Dick dan beberapa ahli parlimen Canberra.
“Pertemuan seperti ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Australia untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Pertembungan "Rekod Bakti" Kak Awi, "Formula Pembaharuan" Saiful Nizam Di Endau
- Malaysia Lantik Mohamad Sabu Sebagai Wakil Ke Upacara Pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran
- ‘Pakar’ Afrika Selatan Matebedi Dilantik Ketua Jurulatih Pecut Negara - MA
- 37,880 Kenderaan Di Sarawak Layak Mohon SKDS
- Tiga Pengiktirafan Jadi Pembakar Semangat KKR Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan