‘Pakar’ Afrika Selatan Matebedi Dilantik Ketua Jurulatih Pecut Negara - MA
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Jurulatih pecut berpengalaman dari Afrika Selatan Thabo Matebedi dilantik sebagai Ketua Jurulatih Acara Pecut Negara bagi memperkukuh persiapan skuad pecut kebangsaan menghadapi beberapa kejohanan utama termasuk Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2027.
Olahraga Malaysia (MA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu dibuat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) selepas meneliti permohonan serta kriteria daripada empat calon bagi mengisi jawatan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, MA dan MSN telah meneliti permohonan serta kurikulum vitae (CV) daripada empat calon yang masing-masing berasal dari Botswana, Poland, Jamaica dan Afrika Selatan sebelum memutuskan untuk melantik Matebedi.
MA memaklumkan Matebedi yang memiliki kelayakan Jurulatih Elit Tahap 3, kini disenaraikan antara jurulatih pecut terbaik di Afrika Selatan berdasarkan rekod cemerlang dalam pembangunan atlet.
“Beliau mempunyai pencapaian memberangsangkan dalam membimbing atlet pecut bertaraf antarabangsa seperti Sinesipho Dambile, juara 100 meter Afrika Selatan; Bayanda Walaza; serta Mukona Manavhela, juara 100 meter dan 200 meter bawah 18 tahun Afrika.
“Selain itu, jurulatih yang lebih mesra dikenali ‘Çoach T’ juga pernah melatih Gift Leotlela yang menduduki tempat kelima acara 100 meter pada Kejohanan Dunia 2025 di Tokyo dengan catatan masa 9.87 saat,” menurut kenyataan itu.
Mengenai status ketibaannya, MA menjelaskan jurulatih berusia 44 tahun itu dijangka tiba di negara ini pada awal bulan depan sebaik sahaja semua urusan dokumentasi diselesaikan.
Sebaik memulakan tugas kelak, MA berkata beliau akan diberikan tempoh untuk merangka program pembangunan dan latihan komprehensif yang akan dipantau secara berkala oleh MA, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN).
Proses pemantauan itu merangkumi penilaian prestasi serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan program bagi memastikan sasaran pingat dan kecemerlangan yang ditetapkan dapat dicapai.
-- BERNAMA
Berita terkini
- BUDI Diesel: Hampir 200,000 Dapat Manfaat Dalam Tempoh Tiga Hari Pelaksanaan
- SPRM Tamatkan Siasatan Terhadap Unit Rohas, Tiada Tindakan Lanjut Diambil
- Niaga Hadapan KLCI Ditutup Lebih Tinggi
- Tabika Kemas Bangsa Johor Pertama Guna Pengajaran Bahasa Inggeris, Pembelajaran Digital - Ahmad Zahid
- Unit Hextar Industries Peroleh Kontrak EPC Bernilai RM138.4 Juta Di Pulau Indah