03/07/2026 07:51 PM

Tabika Kemas Bangsa Johor Pertama Guna Pengajaran Bahasa Inggeris, Pembelajaran Digital - Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Tabika Kemas Bangsa Johor (TKBJ) muncul sebagai Tabika Kemas pertama di Malaysia yang menggabungkan pengajaran bahasa Inggeris dan kaedah pembelajaran digital dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu adalah langkah progresif dalam memperkukuh sistem pendidikan awal kanak-kanak negara agar lebih moden dan berdaya saing.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata pendekatan itu selari dengan usaha Kerajaan Negeri Johor dalam melahirkan generasi masa depan yang lebih berkemahiran tinggi, celik teknologi serta berdaya saing dalam era pendidikan abad ke-21.

“Tabika Kemas Bangsa Johor merupakan satu-satunya konsep seumpamanya di negara ini… keistimewaannya bukan hanya pada nama Bangsa Johor tetapi juga pada kurikulum, pedagogi dan kaedah pengajaran yang berbeza daripada tabika Kemas lain di seluruh negara… sudah tentu penghayatan al-Quran tetap menjadi keutamaan tanpa sebarang kompromi.

“Namun, keistimewaan di Johor ialah penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris serta penggunaan teknologi moden dalam proses pengajaran dan pembelajaran...lebih membanggakan, pembiayaan projek ini bukan ditanggung oleh Kemas sebaliknya oleh Kerajaan Negeri Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Dewan Undangan Negeri Larkin Mohd Hairi Mad Shah.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM3.6 juta bagi pelaksanaan TKBJ sebagai usaha memperkukuh kualiti pendidikan awal kanak-kanak dalam agenda pembangunan modal insan negeri.

Beliau berkata pelaksanaan itu melibatkan lima premis di empat lokasi iaitu dua di Johor Bahru dan dua di Pasir Gudang, membabitkan keseluruhan tujuh kelas.

Menteri Besar itu berkata inisiatif tersebut ialah sebahagian daripada ekosistem Sekolah Rintis Bangsa Johor hasil cetusan Pemangku Sultan Johor yang bertujuan memastikan pembangunan pendidikan anak-anak Bangsa Johor diberi perhatian sejak peringkat awal melalui pendekatan lebih tersusun dan menyeluruh.

“Bagi menjayakan inisiatif ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM3.6 juta melibatkan transformasi infrastruktur, latihan guru serta pemerkasaan silibus pembelajaran di lima premis membabitkan tujuh kelas TKBJ,” katanya.

Onn Hafiz berkata inisiatif itu turut mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di Johor.

-- BERNAMA