03/07/2026 07:57 PM

Unit Hextar Industries Peroleh Kontrak EPC Bernilai RM138.4 Juta Di Pulau Indah

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Anak syarikat 70 peratus milik Hextar Industries Bhd (HIB), Hextar Mitai Sdn Bhd (HMSB) memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai RM138.42 juta bagi pembangunan perindustrian berskala besar di Pulau Indah, Selangor. 

Menurut kumpulan itu, kontrak yang dimeterai hari ini dengan syarikat swasta yang tidak dinamakan yang terlibat terutamanya dalam pelaburan hartanah bukan kediaman, melibatkan penyediaan kemasan struktur, seni bina, landskap, infrastruktur, kerja-kerja mekanikal dan elektrik bagi lima bangunan perindustrian. 

“Pembangunan itu merangkumi tiga kilang pengeluaran dan bangunan gudang, dua bangunan asrama pekerja dan kemudahan lain.

“Projek ini melibatkan kawasan seluas 80,928.52 meter persegi (8.09 hektar), dengan keluasan lantai kasar kira-kira 101,801 meter persegi (10.18 hektar),” kata HIB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia. 

Menurut HIB, kerja-kerja dijangka bermula pada 7 Julai 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan. 

“Tempoh siap sebenarnya adalah tertakluk kepada pengesahan oleh pemberi kontrak menerusi pengeluaran sijil penyiapan rasmi,” tambahnya. 

Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Pengarah Urusan Kumpulan Benny Ang berkata kontrak itu menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pertumbuhan bahagian kejuruteraan awam kumpulan itu.

“Kontrak ini memperkukuh keupayaan teknikal kami dan mengukuhkan nilai perolehan kontrak dalam tangan kami, memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik, sambil meningkatkan lagi rekod prestasi kami dalam melaksanakan projek infrastruktur perindustrian,” katanya. 

Pengarah Eksekutif HIB Alex Sham pula berkata projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sebaik sahaja kerja-kerja dimulakan. 

“Ditambah pula dengan peningkatan permintaan dalam pembangunan infrastruktur perindustrian di Lembah Klang, ia mengukuhkan lagi portfolio EPC dan meletakkan kami pada kedudukan yang lebih baik untuk merebut peluang yang sama pada masa hadapan,” katanya. 

HIB yang disenaraikan di Papan Utama ialah kumpulan perindustrian terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan merangkumi baja, perkhidmatan kejuruteraan, produk perindustrian, bekalan pejabat, makanan dan minuman. 

-- BERNAMA