03/07/2026 09:04 PM

Individu Disenarai Hitam Antara 13 Warga Asing Ditahan Di Sempadan Kelantan

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 13 warganegara asing dalam sebuah operasi khas di sempadan Kelantan semalam selepas dikesan cuba menceroboh masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan atau lorong tikus.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata siasatan awal mendapati ada antara individu yang ditahan itu dipercayai pernah disenarai hitamkan daripada memasuki Malaysia sebelum ini.

Beliau berkata operasi khas bermula 5.10 pagi itu disertai pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Kelantan, dengan kerjasama strategik Unit Risik Marin Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor.

"Berdasarkan maklumat awam dan risikan, pasukan operasi menyerbu lokasi pertama di sekitar terminal bas dan menahan lapan lelaki warga Bangladesh serta tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zakaria berkata di lokasi kedua pula, pihaknya menyerbu sebuah kawasan perumahan dan berjaya menahan seorang wanita warganegara Myanmar yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata kesemua warga asing berusia 22 hingga 55 tahun itu ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Turut disita dalam operasi tersebut ialah empat naskhah pasport Bangladesh, empat naskhah pasport Indonesia serta sebuah kenderaan jenis Proton Preve yang dipercayai digunakan bagi memudahkan pergerakan kumpulan warga asing berkenaan.

-- BERNAMA