04/07/2026 12:07 AM

PRN: Manifesto PH Idea Asli Pimpinan - Amirudin

KLUANG, 3 Julai (Bernama) -- Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari menyangkal dakwaan bahawa manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 diambil daripada pihak lain dan menegaskan tawaran berkenaan adalah idea asli pimpinan gabungan politik itu.

Beliau berkata inisiatif seperti perumahan mampu milik dan bantuan kesihatan adalah hasil perancangan teliti kepimpinan PH.

“Pembinaan rumah mampu milik tidak pernah dilakukan, bantuan kesihatan belum dilakukan... itu adalah apa yang telah kita lakukan sebelum ini.

"Jadi, terpulanglah kepada mereka hendak sebut apa tapi datanya, faktanya jelas bahawa itu adalah idea asli yang dijana dan difikirkan oleh pimpinan PH selama beberapa bulan setelah kita mendengar ura-ura pilihan raya nak dilakukan," katanya kepada pemberita  selepas program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan di Simpang Renggam di sini malam ini.

Turut hadir Naib Presiden PKR R. Ramanan, Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil, calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Nur Hafiz Roslan, calon PH bagi DUN Benut Abd Razak Ismail dan calon PH DUN Layang-Layang Guna Balakrishnan.

Mengulas kritikan mengenai sasaran pembinaan Rumah Mampu Milik yang didakwa sukar dicapai, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata ia dibuat berdasarkan keperluan mendesak rakyat pada masa ini.

"Kita letak sasaran yang berani sebab keperluannya besar... ia berdasarkan survei dan perbincangan kumpulan fokus dengan pasukan kita... ia adalah angka kepada keperluan, bukannya kemampuan... jadi, kita akan berusaha ke arah tersebut," katanya.

Mengulas mengenai momentum kempen, Pengarah Jentera PRN Johor PH itu berkata gerak kerja di peringkat akar umbi menunjukkan maklum balas positif walaupun beliau percaya pengundi masih belum menzahirkan sokongan secara terbuka.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi PH, dalam siri kempen di Johor esok mampu menyuntik semangat jentera parti selain meningkatkan keyakinan pengundi terhadap gabungan berkenaan.

Sebanyak 172 calon bertanding dalam PRN Johor yang akan diadakan 11 Julai ini manakala undi awal ditetapkan pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://. prn.bernama.com/johor. 

-- BERNAMA