Ekonomi 02/10/2026 03:42 PM

Pengilang Perlu Percepat Penggunaan Automasi Susulan Kuota Pekerja Asing Dikurang - Sim 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengilang Perlu Percepat Penggunaan Automasi Susulan Kuota Pekerja Asing Dikurang - Sim 
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin menyampaikan ucapan pada pelancaran Malaysia Smart Manufacturing Awards (MSMA) 2027. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

GEORGE TOWN, 2 Okt (Bernama) -- Pengilang di negara ini perlu mempercepat penerimagunaan automasi bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.

Beliau berkata kerajaan telah mengurangkan kuota pekerja asing secara berperingkat daripada kira-kira 20 peratus sebelum ini kepada 15 peratus.

Pada masa ini, pekerja asing merangkumi 13 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara manakala kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan angka itu kepada 10 peratus menjelang 2030.

Menurutnya pengurangan secara berperingkat itu akan memberi masa kepada sektor perniagaan untuk melakukan penyesuaian, namun proses itu berlaku terlalu perlahan.

“Setiap sektor telah dimaklumkan mengenainya. Semua pihak maklum bahawa keputusan ini bukan sesuatu yang mudah. Perniagaan memahami isu ini; kita tidak mengurangkannya secara mendadak, sebaliknya secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Malaysia Smart Manufacturing Awards (MSMA) 2027 di sini hari ini.

Menurut Sim, langkah itu penting memandangkan kebergantungan yang berlebihan terhadap pekerja asing boleh menyebabkan syarikat kurang berminat untuk melabur dalam automasi dan menaik taraf proses pembuatan mereka.

“Industri tidak akan melakukan automasi sekiranya mudah untuk mendapat pekerja asing. Mereka tidak terdorong untuk meningkatkan keupayaan atau membawa proses pembuatan ke tahap yang lebih tinggi. Oleh itu, kita kekal sebagai negara berpendapatan sederhana,” katanya.

Sim berkata Malaysia telah berada dalam perangkap pendapatan sederhana selama lebih 30 tahun dan perlu meningkatkan produktiviti, kemahiran dan kerumitan ekonomi untuk beralih ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Analisis kerajaan mengenai trend produktiviti di Malaysia, Korea Selatan dan Singapura menunjukkan ketiga-tiga negara itu mencatat trajektori yang hampir sama pada 1970-an dan 1980-an, namun Korea Selatan dan Singapura merekodkan pertumbuhan produktiviti yang lebih kukuh pada 1990-an.

Sim berkata isu berkenaan perlu ditangani segera berikutan Malaysia perlu menuju status negara berpendapatan tinggi serta menguasai teknologi lebih maju bagi meningkatkan tahap pendapatan rakyat.

Menurutnya automasi membolehkan syarikat beroperasi dengan jumlah pekerja yang lebih kecil manakala peningkatan kemahiran tenaga kerja pula dapat membantu meningkatkan paras gaji.

Beliau menegaskan bahawa pengilang tidak perlu menunggu sehingga 2030 untuk melaksanakan automasi.

Sim bagaimanapun mengakui bahawa syarikat pengilang telah mula beralih kepada penggunaan automasi, namun peralihan itu berlaku terlalu perlahan.

-- BERNAMA