03/07/2026 11:52 PM

Pemindahan SJKT Ladang Sungai Muar Kini Dalam Proses Pemilikan Tanah - Yuneswaran

JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Cadangan pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Muar, Segamat, kini berada dalam proses pemilikan tanah yang sedang diuruskan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Segamat.

Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran berkata perkara itu dimaklumkan semasa sesi libat urus bersama pihak sekolah yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Segamat, hari ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atas keprihatinan dalam memastikan anak-anak di Segamat dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selamat, kondusif dan selesa.

“Kehadiran Menteri Pendidikan hari ini membuktikan bahawa perkara ini diberikan perhatian serius dan memperlihatkan pentingnya usaha merealisasikan perpindahan sekolah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yuneswaran berkata sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Segamat pada 2022, beliau konsisten memperjuangkan perpindahan sekolah SJKT Ladang Sungai Muar kerana faktor keselamatan, kedudukannya yang jauh daripada komuniti setempat serta isu infrastruktur.

“Kerajaan MADANI akan terus komited mengutamakan pendidikan anak-anak. Jadi saya akan terus memantau perkembangan berkaitan perkara ini dan tindakan susulan akan diteruskan sehingga proses pemindahan SJKT Ladang Sungai Muar berjaya direalisasikan,” katanya.

-- BERNAMA