04/07/2026 12:36 AM

Johor Sentiasa Jadi Keutamaan Kerajaan Persekutuan - Ramanan

KLUANG, 3 Julai (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan sentiasa meletakkan Johor sebagai antara agenda keutamaan nasional menerusi pelaksanaan pelbagai pelaburan dan pembangunan infrastruktur berskala besar demi kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan berkata komitmen itu merangkumi penyaluran pelbagai bantuan yang telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan setiap keluarga di Johor menikmati hasil pembangunan negara secara saksama.

"Johor sentiasa menjadi antara keutamaan Kerajaan Persekutuan, pelbagai pelaburan, pembangunan infrastruktur serta bantuan kepada rakyat telah dan sedang dilaksanakan kerana kita mahu memastikan setiap keluarga di negeri ini menikmati hasil pembangunan negara," katanya semasa berucap pada program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan di Simpang Renggam di sini malam ini.

Turut hadir Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Agung Amanah Muhammad Faiz Fadzil, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Nur Hafiz Roslan, calon PH DUN Benut Abd Razak Ismail dan calon PH DUN Layang-Layang Guna Balakrishnan.

Sehubungan dengan itu, Ramanan menyeru pengundi Johor agar memberikan mandat kepada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi menjamin keselarasan pentadbiran antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan seterusnya memastikan agenda pembangunan berjalan lancar.

Seramai 172 calon disahkan bertanding pada PRN Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan maklumat dan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, orang ramai boleh melayari portal khas menerusi https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA