Am 02/10/2026 08:59 AM

Banjir: 118 Mangsa Dipindahkan Ke Empat PPS Di Penampang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Banjir: 118 Mangsa Dipindahkan Ke Empat PPS Di Penampang
Kredit: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah

KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) -- Sebanyak 118 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Penampang pagi ini, selepas daerah itu dilanda banjir berikutan hujan berterusan lewat malam tadi.

Bencana banjir itu diisytiharkan secara rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang Noemi Dyena John Tren pada 10.40 malam tadi (1 Okt) berdasarkan laporan dan maklumat diterima daripada agensi-agensi dalam jawatankuasa itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan PPS Kompleks Sukan Penampang menempatkan mangsa tertinggi iaitu 40 orang daripada tujuh keluarga, manakala PPS Dewan Huguan Siou menempatkan 31 mangsa daripada 11 keluarga.

Dua lagi pusat pemindahan dibuka ialah PPS Penampang Parish Hall yang menempatkan 29 mangsa daripada 16 keluarga manakala PPS St Paul Kolopis menempatkan 18 mangsa daripada tujuh keluarga.

“Paras air Sungai Moyog kini berada pada tahap kritikal iaitu 9.12 meter, yang melepasi paras bahaya,” menurut kenyataan itu hari ini.

Banjir telah menjejaskan 15 kampung merangkumi  Kampung Penampang Proper, Kampung Kolopis, Kampung Sarapung, Kampung Dabak, Kampung Tanaki, Kampung Pagansakan, Kampung Nambazan, Kampung Huba dan Kampung Kibabaig.

Turut terjejas Kampung Limbanak, Kampung Penampang Kondis, Kampung Sugud, Kampung Pinapah, Vista Kiranau, dan Kampung Kambau.

Banjir berkenaan turut menyebabkan 12 laluan dinaiki air tetapi masih boleh dilalui iaitu Jalan Tanaki-Bandason, Jalan Vista Kiranau, Jalan Inobong, Jalan Kampung Putaton, Jambatan Pagansakan, Jalan Sarapung, Jalan Kolopis-Boliga dan Jalan Bantazon-Kolopis

Turut dinaiki air Jalan Bontozon-Kampung Sarapung, Jalan Huba-Nambazan, Jalan Panglima Banting dan Jalan Kasigui.

Pihak berkuasa tempatan dan agensi keselamatan terus mengemas kini laporan dari semasa ke semasa serta memantau rapi kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

-- BERNAMA