Kompleks PKNS Shah Alam Kembali Beroperasi Selepas Patuhi Langkah Keselamatan
SHAH ALAM, 3 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengesahkan bahawa Kompleks PKNS Shah Alam kembali beroperasi seperti sedia kala hari ini selepas semua prosedur dan langkah keselamatan dipatuhi susulan insiden kebakaran di premis itu petang semalam.
PKNS dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan pantas mengikut prosedur operasi yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengunjung, penyewa dan warga kerja.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan awal pihak pengurusan fasiliti bangunan mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada panel Unit Pakej Penyejuk Udara (ACPU) yang terletak di dalam bilik Unit Pengendalian Udara (AHU) di tingkat satu bangunan berkenaan.
"Kejadian itu mengakibatkan bekalan elektrik dan sistem pendingin hawa di kawasan terlibat dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan.
"Susulan kejadian, pihak pengurusan kompleks telah mengaktifkan prosedur kecemasan dengan mengarahkan pengosongan bangunan di Fasa 1 melalui sistem siar raya," menurut kenyataan itu.
PKNS turut memaklumkan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh singkat sekali gus mengelakkan api daripada merebak ke bahagian lain premis berkenaan.
Menurut kenyataan itu, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan dan akan disahkan oleh JBPM selepas proses siasatan selesai.
Semalam, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ashrul Riezal Asbar mengesahkan kebakaran di kompleks berkenaan berjaya dikawal dan tidak melibatkan sebarang mangsa.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Johor Sentiasa Jadi Keutamaan Kerajaan Persekutuan - Ramanan
- PRN: Manifesto PH Idea Asli Pimpinan - Amirudin
- PRN Johor: MCMC Buka Pusat Aduan Komunikasi Dan Multimedia
- Pemindahan SJKT Ladang Sungai Muar Kini Dalam Proses Pemilikan Tanah - Yuneswaran
- Thailand Sampaikan Pampasan Kepada Rakyat Malaysia Cedera Dalam Letupan Bom Tak Bai