Petugas AADK Maut Dilanggar Pemandu Disyaki Positif Dadah
KUANTAN, 3 Julai (Bernama) -- Seorang petugas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) maut selepas kereta dipandunya dilanggar pemandu disyaki positif dadah di KM18 Jalan Temerloh-Bahau dekat Bera hari ini.
Ketua Polis Daerah Bera Supt Zulkiflee Nazir berkata kemalangan kira-kira 10 pagi itu mengakibatkan Mohamed Sharif Mohamed Ali, 37, yang bertugas di Bera meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dipandu Mohamed Sharif dalam perjalanan dari arah Triang menghala ke Temerloh manakala sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu lelaki berusia 29 tahun bersama penumpang berumur 25 tahun dari Kuala Lumpur menghala ke Triang.
“Ketika ditempat kejadian, MPV berkenaan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta dipandu Mohamed Sharif yang kemudiannya terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkiflee berkata kemalangan berkenaan turut mengakibatkan pemandu dan penumpang MPV mengalami cedera ringan di bahagian kaki.
Beliau berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu MPV itu positif dadah jenis Erimin 5 manakala kemalangan berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Johor Sentiasa Jadi Keutamaan Kerajaan Persekutuan - Ramanan
- PRN: Manifesto PH Idea Asli Pimpinan - Amirudin
- PRN Johor: MCMC Buka Pusat Aduan Komunikasi Dan Multimedia
- Pemindahan SJKT Ladang Sungai Muar Kini Dalam Proses Pemilikan Tanah - Yuneswaran
- Thailand Sampaikan Pampasan Kepada Rakyat Malaysia Cedera Dalam Letupan Bom Tak Bai