03/07/2026 06:33 PM

PRN Johor: Pertembungan "Rekod Bakti" Kak Awi, "Formula Pembaharuan" Saiful Nizam Di Endau

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 3 Julai (Bernama) -- Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau kini menjadi medan pertembungan dinamik antara “rekod bakti” penyandangnya, Alwiyah Talib daripada Barisan Nasional (BN) dengan “formula pembaharuan” oleh intelektual muda Pakatan Harapan (PH), Saiful Nizam Samat.

Saingan di Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan pertembungan empat penjuru dimeriahkan dengan kehadiran Hasnul Hakimi Hussien mewakili Perikatan Nasional (PN) serta calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Jati Awang.

Alwiyah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Awi, yang menyandarkan kempennya pada keikhlasan perkhidmatan dua penggal, membawa misi besar merancakkan ekonomi pelancongan daratan di Endau bagi melengkapkan ekosistem pelancongan kepulauan sedia ada.

Beliau melihat potensi besar dalam sektor itu seperti di KampungStay@Teluk Buih, Penyabong dan Tanjung Resang yang sering menjadi tumpuan pelancong sehingga mencecah tahap "full house” bagi penginapan chalet serta resort pada hujung minggu.

Selain itu, Alwiyah juga mahu mengubah persepsi Mersing yang sering dianggap sekadar "pintu masuk" ke pulau-pulau sekitarnya dengan mempromosikan destinasi seperti Pulau Mawar, Pantai Air Papan dan Teluk Gorek sebagai hab inap desa yang mampan.

"Segala perancangan dan usaha ini perlu diteruskan demi memastikan sektor pelancongan ini kekal berdaya saing dan tidak terhenti di tengah jalan," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Selain pelancongan, Alwiyah turut memfokuskan pembangunan sektor pendidikan menerusi usaha membina sebuah sekolah menengah baharu di Pekan Endau bagi menampung keperluan pelajar yang kini hanya bergantung kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin.

​"Kita juga mahu memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat pendidikan daripada peringkat sekolah rendah hinggalah ke menara gading," katanya. 

Beliau yang memenangi kerusi DUN Endau pada 2022 atas tiket PN sebelum kembali ke pangkuan BN, mengakui tidak pernah berada dalam zon selesa dan menyifatkan fasa pilihan raya sebagai sebuah "peperangan" yang menuntut keikhlasan tanpa perlu bersikap hipokrit.

Mencungkil naratif berbeza daripada pencabarnya, Saiful Nizam, 42, yang tampil dengan profil “kumpulan pemikir” dan kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi, menawarkan pendekatan sistemik melalui lima fokus utama merangkumi pendidikan, kemajuan ekonomi serta keterjaminan makanan.

Membuat penampilan sulung, calon PH itu berhasrat merevolusikan sektor perikanan menerusi agenda Ekonomi Nelayan 2.0 yang digerakkan seiring dengan pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan bagi mengekang penghijrahan belia ke bandar.

"Apabila ekonomi nelayan ini mampan melalui agenda Ekonomi Nelayan 2.0, limpahannya akan turut menaikkan taraf kelas usahawan di sekeliling sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

"Tumpuan juga akan diberi kepada usahawan dan ekonomi tempatan menerusi sokongan kepada PKS, program pemasaran digital serta penyediaan peluang perniagaan baharu bagi mengekang penghijrahan belia ke bandar," katanya.

Beliau juga mahu menggalakkan kaedah pertanian moden bagi menambah pendapatan serta meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Saiful Nizam turut menawarkan bantuan pendidikan, program kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris dalam melahirkan tenaga kerja berdaya saing.

Selain itu, beliau berhasrat mewujudkan Dana Pendidikan Anak Endau bagi mempermudah akses bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan serta memastikan program komuniti setempat dapat diadakan secara berterusan.

Saiful Nizam turut mempertaruhkan kredibilitinya untuk membawa isu infrastruktur, kebajikan nelayan dan akses rangkaian Internet penduduk ke peringkat agensi berkaitan sekiranya diberi mandat oleh 28,767 pengundi berdaftar di kawasan itu.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA

 

N32: ENDAU: 28,767

1. Hasnul Hakimi Hussien  (PN-PAS)

2. Jati Awang (ASLI)

3. Saiful Nizam Samat  (PH-PKR)

4. Alwiyah Talib  (BN-UMNO)

 

(2022: Alwiyah Talib: PN-Bersatu: Maj: 3,041)