03/07/2026 03:13 PM

Keanggotaan Azam Tiada Kaitan Dengan Jawatan KP SPRM - Anwar

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) --  Keanggotaan Tan Sri Azam Baki sebagai ahli lembaga penasihat di Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), tidak mempunyai kaitan dengan jawatannya yang terdahulu sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keanggotaan Azam itu, di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tempoh lantikan itu kekal berkuat kuasa sehingga 2027.

“Lantikan itu, pelantikan Yang di-Pertuan Agong berakhir tak silap saya 2027.

“Nak batalkan (pelantikan) itu hanya Yang di-Pertuan Agong. Beliau (Azam) tidak terkait dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata beliau ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena di sini hari ini.

Terdahulu NFCC hari ini menjelaskan bahawa bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki merupakan anggota Lembaga Penasihatnya.

Ketua Pengarah NFCC Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dalam kenyataan berkata keanggotaan Azam adalah bagi tempoh tiga tahun mulai 20 Sept 2024 hingga 19 Sept 2027.

-- BERNAMA