Calon BN Mengkibol Sasar Peluang Kerja, Gaji Memuaskan
KLUANG, 2 Julai (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, Yap Zhi Peng, bertekad memberi tumpuan sepenuhnya terhadap ekonomi setempat dan kebajikan golongan belia sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Berbekalkan pengalaman selama dua tahun sebagai Ahli Majlis Perbandaran bagi Zon Yap Tau Sah, beliau yang mesra dalam kalangan komuniti peniaga optimis mampu membawa perubahan terhadap landskap sosioekonomi di kawasan berkenaan berdasarkan maklum balas penduduk tempatan.
"Kawasan ini mengalami kekurangan peluang pekerjaan untuk golongan muda serta ketiadaan pembangunan baharu seperti taman perindustrian.
“Fokus utama saya adalah untuk membantu golongan muda di sini mendapatkan pekerjaan yang baik dan sudah tentu dengan tawaran gaji yang memuaskan,” katanya yang ditemui ketika tinjauan mesra di Taman Intan di sini baru-baru ini.
Beliau berkata kesemua perancangan tersebut akan diselaraskan dengan agenda pembangunan kerajaan negeri memandangkan setiap pentadbiran yang dibentuk pastinya mempunyai pelan menyeluruh untuk semua daerah.
Yap menggalas misi BN untuk merampas kerusi DUN Mengkibol pada PRN Johor ini, bersandarkan rekod khidmat bakti dan hubungan eratnya bersama komuniti setempat sepanjang bergelar ahli majlis.
DUN Mengkibol yang merupakan antara kerusi tumpuan pada PRN kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Yap dengan calon Pakatan Harapan Chu Poh Yee.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N28: MENGKIBOL: 68,457 pengundi
1. Yap Zhi Peng (BN-MCA)
2. Chu Poh Yee (PH-DAP)
(2022: Chew Chong Sin: PH-DAP: Maj: 10,107)
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Onn Abu Bakar Gariskan Enam Tekad Pacu Pembangunan DUN Senggarang
- Kerajaan Sasar 100 Peratus Capaian Internet Di Kawasan Berpenduduk
- Wanita Terjatuh Dari Jambatan Ditemukan Lemas
- Mohamad Sabu Ketuai Delegasi Malaysia Beri Penghormatan Terakhir Kepada Khamenei
- Busana Orang Ulu Curi Tumpuan Di 75th Lindau Nobel Laureate Meeting 2026