MyCC Bakal Perkenal Ganjaran Tunai, Tawaran Potongan Penalti Atasi Kartel - Armizan
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bakal dilengkapi dengan mekanisme siasatan yang lebih agresif termasuk punca kuasa menawarkan ganjaran kewangan kepada pemberi maklumat yang berjaya membongkar pakatan kartel.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu diperuntukkan di bawah Seksyen 64B menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 bagi menggalakkan lebih banyak pihak tampil menyalurkan data sahih berhubung amalan antipersaingan.
Selain ganjaran, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut memperkenalkan ciri “Tawaran Penyelesaian” di bawah Seksyen 38A yang membenarkan perusahaan yang mengaku liabiliti lebih awal menikmati peningkatan potongan penalti kewangan hingga 40 peratus.
“Mekanisme ini sangat kritikal bagi mengoptimumkan sumber suruhanjaya, mengurangkan keperluan prosedur siasatan yang panjang serta meminimumkan risiko litigasi di mahkamah pascakeputusan akhir dikeluarkan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai mekanisme ganjaran dan perlindungan tegar pemberi maklumat pula, Armizan berkata ia perlu dimasukkan melalui Seksyen 64A dan 64B baharu memandangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sedia ada tidak terpakai bagi kes persaingan yang bersifat sivil.
“Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 mengehadkan takrifan salah laku kepada kesalahan tatatertib atau jenayah, sedangkan Akta Persaingan bersifat sivil. Pindaan ini akan menjamin perlindungan mutlak bagi kes sivil persaingan,” katanya.
Beliau berkata draf pindaan kali ini turut memperluaskan takrifan “perusahaan” daripada sekadar aktiviti komersial kepada keseluruhan aktiviti ekonomi.
Langkah itu bagi membolehkan MyCC mempunyai punca kuasa undang-undang untuk menyiasat persatuan yang mewakili sesuatu industri, sekiranya persatuan tersebut dikesan membuat keputusan bersandarkan pakatan kartel penetapan harga, pembahagian pasaran atau mengehadkan pengeluaran.
RUU itu kemudiannya diluluskan di peringkat dasar dan akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa pada Isnin, disusuli bacaan kali kedua RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada hari yang sama.
Persidangan bersambung Isnin.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: BN Harap Sokongan PAS Di Kerusi Bersatu
- PRN Johor: Amirul Huzni Pertaruh Semangat Anak Muda Di Sedili
- Sarawak Alu-Alukan Tambahan Geran Khas Jika Fiskal Persekutuan Mengizinkan - Abang Johari
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Susulan Permintaan Terhadap Aset Selamat
- Sekolah Boleh Tunggu – Tuchel Mahu Penyokong Berjaga Untuk England