02/07/2026 08:07 PM

PRN Johor: Amirul Huzni Pertaruh Semangat Anak Muda Di Sedili

JOHOR BHARU, 2 Julai (Bernama) -- Berdepan dua pencabar lebih berpengalaman di kubu kuat Barisan Nasional (BN) bukan alasan untuk calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili Amirul Huzni Onn berasa gentar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Sebaliknya, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulai berusia 29 tahun itu melihat usia muda dan status beliau sebagai "pendatang baharu" dalam arena politik sebagai kekuatan untuk menawarkan khidmat yang lebih segar serta dinamik.

Beliau menganggap persaingan dengan penyandang kerusi itu yang juga calon BN Muszaide Makmor dan bekas Ahli DUN (ADUN) Sedili selama tiga penggal Rasman Ithnain, mewakili Perikatan Nasional (PN), sebagai satu pembelajaran selain peluang membuktikan kemampuan generasi muda.

“Sebagai calon muda, kami ini dianggap sebagai kain putih bersih... jadi, masih belum ada lagi secalit hitam atau perkara-perkara yang menandai kami sebagai orang yang tidak buat kerja.

“Jika mahu diukur dari segi pengaruh tradisi, saya akui memang jauh ke belakang namun dalam mana-mana pertarungan, garis penamatnya adalah menang atau kalah, dan saya percaya setiap generasi itu mempunyai peranan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Menyentuh mengenai manifestonya, Amirul Huzni memilih untuk tidak menjanjikan perkara yang sukar direalisasikan sebaliknya memfokus kepada isu yang benar-benar dekat dengan keperluan penduduk.

Beliau berkata perkara pertama yang akan diberi keutamaan sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat ialah merealisasikan pembinaan sebuah stesen minyak yang sudah lama dinantikan oleh masyarakat setempat termasuk nelayan dan pemancing.

“Fokus saya hanyalah mahu mengadakan stesen minyak itu kerana apa yang saya tahu, tapaknya sudah ada malah tanahnya sudah ditolak dan dibersihkan sejak setahun lalu namun pelaksanaannya masih belum ada sehingga kini,” katanya.

Amirul Huzni turut berkongsi keunikan kempennya yang menekankan kepentingan berkempen secara matang dan berhemah dengan menyantuni pihak lawan demi mengekalkan keharmonian masyarakat di kawasan itu.

“Malah ketika hari penamaan calon, saya sempat menyuarakan kepada calon lawan bahawa kehadiran saya di sini adalah untuk belajar dan mahu berkempen secara sihat... sebagai ahli politik, kita perlu sentiasa berjiwa besar demi tugas,” katanya.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai manakala undi awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

N36: SEDILI - 29,090 pengundi 

1. Amirul Huzni Onn (PH-Amanah)

2. Muszaide Makmor (BN-UMNO)

3. Rasman Ithnain (PN-Bersatu) 

(2022: Muszaide Makmor: BN-UMNO: Maj: 5,679)