Dunia 01/10/2026 09:58 AM

AS: Anggota Demokrat Bakal Perkenal RUU Sekatan Sasar Perluasan Petempatan Haram Israel

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AS: Anggota Demokrat Bakal Perkenal RUU Sekatan Sasar Perluasan Petempatan Haram Israel
(AP Photo/Ohad Zwigenberg)

WASHINGTON, 1 Okt (Bernama-Anadolu) -- Enam anggota Parti Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) dijangka memperkenalkan rang undang-undang (RUU) pada Khamis yang akan mengenakan sekatan ke atas individu dan entiti yang terlibat dalam pembinaan atau perluasan petempatan serta petempatan kecil yang terletak berasingan daripada petempatan utama peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki dan Semenanjung Gaza.

Anadolu Ajansi melaporkan anggota Dewan Perwakilan itu, Joaquin Castro, Madeleine Dean, Don Beyer, Greg Casar, Sara Jacobs dan Veronica Escobar merupakan penaja bagi "Stop the Settlements Act".

RUU itu bertujuan menghentikan pembinaan petempatan baharu serta perluasan petempatan dan petempatan kecil peneroka haram Israel sedia ada menerusi sekatan bersasar serta larangan mengimport barangan yang dihasilkan di petempatan dan petempatan kecil berkenaan.

Penyokong RUU itu berkata langkah yang dicadangkan bertujuan menghalang pemindahan paksa selanjutnya rakyat Palestin serta mengekalkan laluan ke arah penyelesaian politik yang membolehkan rakyat Israel dan Palestin melaksanakan hak menentukan nasib sendiri.

Castro, seorang daripada penaja RUU itu, mengkritik kerajaan Israel dan aktiviti penempatan di Tebing Barat.

"Di bawah kerajaan (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu, peneroka haram terlibat dalam tindakan merampas tanah secara ganas yang mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan perluasan berterusan petempatan Israel sebagai halangan utama kepada keamanan dan menggesa Kongres menggunakan sekatan sebagai instrumen untuk menangani pembinaan petempatan itu.

"Anggota Demokrat mesti menangani perkara ini dengan segera -- bertindak sekarang atau menyaksikan prospek penentuan nasib sendiri rakyat Palestin lenyap selama-lamanya," kata Castro.

-- BERNAMA-ANADOLU