Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi membuktikan ada kalanya rakyat sendiri dapat membantu mengurangkan masalah yang ditanggung oleh yang lain tanpa perlu menunggu tindakan daripada pihak berwajib.
Beliau yang kerap mendengar keluhan penghantar makanan tentang bayaran tidak setimpal selain rungutan peniaga kerana perlu membayar komisen kepada penyedia perkhidmatan p-panggilan, mengambil langkah berani meninggalkan perniagaan percetakan baju yang diusahakannya selama dua tahun sebelum COVID-19 menular, dan menceburi ekonomi gig menerusi penyediaan perkhidmatan penghantaran.
Hari ini, percaturan Nur Ahmad Faiz, 35, yang membangunkan dan mengoperasikan aplikasi Misi Delivery semasa negara sedang berdepan pandemik COVID-19, membuahkan hasil “menang-menang” untuk semua pihak berkepentingan, khususnya penghantar makanan dan vendor.
“Waktu itu (COVID-19) saya nampak satu-satunya perniagaan yang dapat hidup ialah ‘delivery’. Pada masa itu juga saya dengar banyak keluhan daripada ‘riders’ tentang upah rendah dan ada kalanya tidak setimpal dengan kerja, selain berdepan dengan pelbagai risiko keselamatan.
“Kemudian saya dapat tahu pula tentang peniaga yang perlu membayar kadar komisen tinggi kepada penyedia perkhidmatan, yang mengurangkan keuntungan mereka. Semua ini mendorong saya untuk membangunkan aplikasi Misi Delivery,” jelasnya ketika ditemui Bernama di Puncak Alam di sini, baru-baru ini.
TAWAR KELAINAN
Berbeza dengan penyedia perkhidmatan serupa, Nur Ahmad Faiz berkata model perniagaan mereka membolehkan peniaga memperoleh keuntungan penuh, sementara penghantar makanan pula menerima bayaran berdasarkan jarak perjalanan.
“Menerusi Misi, peniaga boleh mengekalkan harga sama seperti yang dijual di kedai dan memperoleh keuntungan penuh daripada jualan mereka, manakala penghantar makanan dapat bayaran bermula RM5 bagi lima kilometer dan kadar meningkat mengikut jarak perjalanan.
“Kami pula memperoleh pendapatan daripada fi yang dikenakan ke atas pelanggan semasa mereka membuat tempahan menggunakan aplikasi kami,” jelasnya, menambah fi yang dikenakan adalah antara lapan hingga 30 peratus.
“Pelanggan juga boleh memilih sama ada hendak membayar fi lapan peratus, 15 peratus, 20 peratus atau 30 peratus, tidak ada paksaan. Kebanyakannya cuma bayar lapan peratus,” jelasnya.
Kini, selepas hampir lima tahun di pasaran, Misi Delivery merekodkan 200,000 vendor dan kira-kira 40,000 penunggang di beberapa negeri, termasuk Lembah Klang, Perlis, Perak dan Labuan. Dalam tempoh lima tahun itu juga syarikatnya merekodkan perolehan sekitar RM5 juta melibatkan transaksi jualan bernilai RM100 juta.
“Dari segi pendapatan bulanan, kami mampu memperoleh kira-kira RM300,000 hingga RM400,000,” ujarnya.
BELAJAR SENDIRI BANGUNKAN APLIKASI
Menyoroti perjalanan beliau bergelar usahawan digital, bapa kepada tiga cahaya mata perempuan ini membangunkan aplikasi Misi Delivery pada September 2021.
Tanpa pendidikan formal dalam bidang sains komputer, Nur Ahmad Faiz “berguru” dengan YouTube bagi mempelajari selok-belok membangunkan aplikasi mudah alih itu.
“Saya belajar sendiri daripada YouTube dan merujuk satu platform, iaitu Bubble.io. Platform ini agak mudah digunakan kerana tidak memerlukan kemahiran pengekodan secara khusus.
“Cuma cabarannya ialah kos platform tersebut agak mahal," katanya yang mengambil masa satu bulan untuk menyiapkan aplikasi berkenaan.
“Saya banyak melakukan kesilapan dan inilah yang menyebabkan kos membangunkan aplikasi Misi menjadi tinggi. Namun begitulah proses pembelajaran. Saya terus melakukan dan mencuba pelbagai kaedah dan akhirnya aplikasi Misi berjaya disiapkan.” katanya yang membelanjakan kira-kira RM30,000 untuk membangunkan aplikasi tersebut.
TUNGGU LAPAN BULAN UNTUK TEMPAHAN PERTAMA
Selepas siapnya aplikasi itu, Nur Ahmad Faiz berkata beliau terpaksa menunggu selama lapan bulan sebelum dapat memastikan kejayaan model perniagaannya yang dijalankan menerusi syarikat Bangsa Bertauhid Sdn Bhd.
"Masa itu tidak terfikir pun susah hendak tarik pelanggan guna aplikasi Misi kerana saya sudah dikenali di media sosial menerusi perniagaan percetakan. Jadi, saya yakin boleh tarik mereka (pengikut) untuk menggunakan aplikasi yang akan saya perkenalkan. Sangkaan saya meleset sama sekali. Rupanya susah hendak meyakinkan orang untuk mencuba Misi.
"Dalam lapan bulan menanti baru saya dapat pelanggan pertama yang membuat pesanan,” katanya, menambah pesanan pertama itu yang bertempat di Puncak Alam dihantar sendiri oleh beliau.
“Pesanan pertama ini juga memberi isyarat yang sistem ini berfungsi dengan baik.”
Sejak tempahan pertama, Misi yang pada masa itu cuma disertai oleh kira-kira 30 peniaga, mula mendapat perhatian pengguna.
"Bermula dari Puncak Alam kemudian Misi mula bergerak dan berkembang ke Meru, Pulau Indah, Klang serta beberapa tempat lain. Perasaan saya ketika itu amat bersyukur kerana akhirnya ternyata pelanggan boleh membuat tempahan makanan dan minuman melalui Misi, dan paling penting, membuka ruang pendapatan kepada vendor serta penghantar," katanya.
Dalam usahanya membina platfrom penghantaran itu, Nur Ahmad Faiz tidak terlepas daripada lemparan kata-kata sinis dengan ramai yang meragui akan kebolehannya menerajui perkhidmatan tersebut. Tidak kurang juga yang memandang rendah dan merasakan beliau tidak boleh pergi jauh dalam sektor itu.
"Selama ini pengikut saya di laman media sosial mengenali saya sebagai usahawan percetakan baju. Tiba-tiba saya bertukar bidang dengan membina aplikasi Misi dan sanggup bersaing dengan syarikat gergasi sedia ada.
"Memang ramai yang kritik dan mempersoalkan kemampuan saya waktu itu termasuk menyatakan ia sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Namun syukur saya berjaya membuktikan mereka salah," katanya yang kini mempunyai 14 kakitangan bagi mengendalikan operasi aplikasi itu.
BERBALOI
Di sebalik kejayaan platform Misi itu, ada matlamat lain yang diburu oleh Nur Ahmad Faiz, iaitu membantu membentuk ekosistem ekonomi yang kukuh untuk peniaga kecil.
Katanya beliau berasa puas apabila melihat peniaga-peniaga kecil yang hanya berniaga di rumah namun mampu menjana pendapatan tinggi.
"Saya pergi ke Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini dan melihat perkembangan Misi yang begitu pesat di sana. Saya menemui peniaga makanan di situ. Apabila sampai, terkejut saya kerana peniaga nasi katok itu beroperasi hanya dari sebuah warung kecil, bukan kafe ataupun restoran.
"Peniaga itu memberitahu dia menerima tempahan melebihi 3,000 pesanan sebulan melalui aplikasi Misi… satu pencapaian luar biasa," katanya yang giat turun padang bagi memperkukuh kedudukan Misi, selain memberi sokongan kepada para penghantar makanan serta peniaga untuk terus menggunakan platform berkenaan.
PERLUAS RANGKAIAN
Melihat pada sambutan yang diterima, Nur Ahmad Faiz bertindak meluaskan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelantar itu bermula Ogos lalu.
"Sekarang pengguna boleh melayari aplikasi Misi bukan untuk pemesanan makanan sahaja malah turut terdapat Misi Business, Misi Services, Misi Home, Misi Community, Misi Job, Misi Express yang dilancarkan pada 25 Ogos lepas.
“Kami memperluas skop Misi untuk membantu individu yang mempunyai kemahiran atau menawarkan perkhidmatan. Contohnya, tukang elektrik, paip, urut dan pemasang pendingin hawa. Walaupun mereka hanya mempunyai kemahiran tertentu dan bekerja dengan orang lain mereka tetap boleh menawarkan kemahiran itu kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya," katanya.
Menurut beliau lagi aplikasi itu turut menyediakan maklumat berkaitan inap desa, rumah sewa, jual beli rumah dan tanah.
“Setakat ini sambutan amat menggalakkan dan kita masih dalam proses pendaftaran vendor, jadi angka sebenar belum ada,” katanya, menambah syarikatnya tidak mengenakan sebarang bayaran kepada peniaga untuk mendaftar dengan platform berkenaan.
Berhubung sasaran untuk tempoh lima tahun akan datang, Nur Ahmad Faiz berharap Misi akan menjadi antara pilihan utama masyarakat dalam dunia digital, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka setara dengan syarikat-syarikat gergasi sedia ada di pasaran.