KUALA LUMPUR 1 Okt (Bernama) -- Ice-Watch Malaysia meraikan sedekad penganjuran Ice-Watch Night Run di negara ini menerusi pelancaran larian Color The Night Run 2026 yang bakal berlangsung di IOI City Mall di Putrajaya, pada 28 Nov nanti.
Pengedar jam tangan Time Zone Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penganjuran larian edisi ke-10 itu disokong oleh HABIB Group dan Two Tropics Coffee, bagi memperkukuh nilai bersama dalam membina komuniti serta menggalakkan gaya hidup aktif serta menawarkan pengalaman kehidupan yang bermakna.
“Sepanjang sedekad, Ice-Watch Night Run telah berkembang daripada sekadar sebuah acara larian kepada platform yang menyatukan komuniti, pelari, keluarga, pihak media serta rakan kerjasama untuk bersama-sama menikmati pengalaman yang menggabungkan semangat larian, warna dan kebersamaan.
“Bersempena dengan ulang tahun ke-10, Color The Night Run 2026 memperkenalkan semangat dan identiti baharu yang lebih segar bagi membuka ruang kepada generasi peserta baharu mencipta pengalaman mereka sendiri,” menurut kenyataan itu.
Selain penganjuran larian, Ice-Watch Malaysia turut melancarkan dua koleksi jam tangan baharu khusus bersempena dengan acara berkenaan iaitu “Ice Forever” dan jam pintar “Ice Smart Forever 2.0”.
Koleksi “Ice Forever” menampilkan intepretasi baharu terhadap gaya ikonik Ice-Watch dengan reka bentuk kontemporari yang melengkapi pelbagai personaliti dan gaya harian, manakala “Ice Smart Forever 2.0” menggabungkan reka bentuk ikonik bersama teknologi pintar bagi kegunaan gaya hidup moden.
Ditubuhkan di Bastogne, Belgium pada 2007, jenama Ice-Watch yang menawarkan jam tangan bergaya pada harga yang mampu milik, kini bertapak di lebih 55 negara.
Di Malaysia, Time Zone Sdn Bhd yang merupakan pengedar eksklusif Ice-Watch, merupakan sebahagian daripada HABIB Group dengan kini mengendalikan 11 cawangan di seluruh negara.
-- BERNAMA