KUALA TERENGGANU, 1 Okt (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus mencatat kecemerlangan dalam landskap pendidikan tinggi global apabila berjaya melonjak ke kelompok 801-1000 dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027, berbanding kelompok 1001-1200 pada 2026.
Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata dalam kalangan Universiti Awam (UA) pula, UniSZA terus mengekalkan kedudukan ke-10 daripada 19 institusi yang menyertai THE World University Rankings 2027, yang diumumkan pada 30 Sept lepas melibatkan 2,297 universiti dari 118 negara dan wilayah.
Beliau berkata pencapaian UniSZA turut disokong oleh peningkatan skor dalam empat daripada lima teras utama penilaian THE, dengan teras penyelidikan, pengajaran dan pengantarabangsaan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
“Pencapaian tersebut merupakan hasil usaha kolektif seluruh warga universiti serta petunjuk bahawa strategi pembangunan institusi sedang menunjukkan kemajuan yang positif. Peningkatan daripada kelompok 1001-1200 kepada 801-1000 dunia buat kali pertama merupakan satu pencapaian yang membanggakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata UniSZA akan terus komited memperkukuh keseluruhan ekosistem universiti, khususnya dalam aspek kualiti akademik dan pengajaran, penyelidikan berkualiti dan berimpak tinggi, pengantarabangsaan, jaringan serta kolaborasi strategik, hubungan industri dan sumbangan universiti kepada masyarakat.
Fadzli berkata dengan pencapaian ini, warga UniSZA tidak boleh leka, sebaliknya perlu menyedari bahawa sebagai antara universiti termuda di Malaysia, perjalanan institusi itu masih panjang dan usia sesebuah universiti bukan penghalang untuk membina kecemerlangan serta meningkatkan daya saing pada peringkat nasional dan antarabangsa.
“Kita optimis untuk terus menunjukkan kemajuan secara konsisten dan mampan. Kedudukan dalam penarafan antarabangsa bukanlah matlamat akhir sesebuah universiti. Sebaliknya, menjadi antara instrumen untuk menilai kedudukan dan prestasi institusi secara objektif serta membandingkan pencapaian dengan universiti lain pada peringkat global,” katanya.
Beliau berkata penarafan tersebut memberikan satu penanda aras untuk mengetahui kedudukan UniSZA, mengenal pasti kekuatan dan ruang yang perlu ditambah baik serta membina daya saing yang sihat.
Persaingan dalam pendidikan tinggi, katanya, bukan semata-mata mengejar kedudukan, tetapi seharusnya diterjemahkan kepada usaha meningkatkan kualiti ilmu, inovasi, penyelidikan dan impak kepada masyarakat.
“UniSZA akan terus bergerak ke hadapan dengan aspirasi ini. Pencapaian THE World University Rankings 2027 ini menjadi dorongan kepada UniSZA untuk memperkukuh lagi strategi institusi dan budaya peningkatan berterusan, selaras dengan aspirasi universiti untuk meningkatkan kecemerlangan, keterlihatan dan impaknya pada peringkat nasional serta global,” katanya.
-- BERNAMA