Am 01/10/2026 11:13 AM

TPM Singapura Tiba Di Malaysa Dengan Agenda Utama Perkukuh Daya Tahan Rantaian Bekalan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TPM Singapura Tiba Di Malaysa Dengan Agenda Utama Perkukuh Daya Tahan Rantaian Bekalan
Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan kerja sehari, dengan agenda utama memperkukuh hubungan ekonomi dan daya tahan rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

SEPANG, 1 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan kerja sehari, dengan agenda utama memperkukuh hubungan ekonomi dan daya tahan rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

Pesawat komersial yang membawa Gan dan delegasinya mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 9.40 pagi.

Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) R. Jaya Singam.

Sepanjang lawatan tersebut, Gan dijadualkan bertemu dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta menghadiri majlis makan tengah hari perniagaan bersama dengan Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura di Kuala Lumpur.

Beliau juga dijadualkan untuk menjadi pengerusi bersama Dialog Menteri Tahunan (AMD) Ketiga antara MITI dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura, serta bertemu dengan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Putrajaya.

AMD Ketiga akan memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama dua hala dalam pelaburan, perdagangan dan ekonomi, terutamanya dalam daya tahan rantaian bekalan serta industri halal, di tengah-tengah persekitaran geoekonomi dan geopolitik global yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Antara hasil utama yang dijangkakan daripada dialog tersebut ialah penerimagunaan terma rujukan bagi Kumpulan Kerja Rantaian Bekalan Malaysia-Singapura, yang bertujuan untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, menyelaraskan tindak balas semasa krisis, memudahkan pergerakan barangan merentas sempadan dan meminimumkan gangguan terhadap rantaian bekalan kedua-dua negara.

Lawatan ini juga memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka bidang kerjasama baharu yang saling menguntungkan, khususnya dalam pelaburan, perdagangan dan industri halal.

Pada tahun 2025, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia pada peringkat global dan yang terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan perdagangan dua hala bernilai RM402.8 bilion.

Dalam tempoh yang sama, Singapura juga merupakan sumber pelaburan langsung asing terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM53.4 bilion.

-- BERNAMA