Sarawak Alu-Alukan Tambahan Geran Khas Jika Fiskal Persekutuan Mengizinkan - Abang Johari
KUCHING, 2 Julai (Bernama) -- Sarawak mengalu-alukan sebarang pertambahan geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sekiranya kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan mengizinkan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata sebarang penambahan geran khas kepada Sarawak perlu dipertimbangkan berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Kalau Kerajaan Persekutuan mampu, kita alu-alukan. Tetapi jika tidak, kita faham kedudukan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program New Horizon for Western Digital (WD) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata setakat ini belum ada perbincangan terperinci mengenai cadangan tersebut namun perkara berkenaan pernah disentuh secara umum dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bintulu baru-baru ini.
Pada 30 Jun lepas, Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat dilaporkan berkata rundingan mengenai pemberian khas kepada Sarawak itu masih diteruskan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sementara itu, Abang Johari berkata kerjasama strategik selama kira-kira 30 tahun antara Sarawak dan Western Digital terus diperkukuh melalui pembangunan teknologi penyimpanan data berasaskan glass substrate.
“Kelebihan Sarawak dari segi tenaga boleh diperbaharu dan sumber air yang mencukupi menjadi faktor penting yang menarik keyakinan pelabur berteknologi tinggi.
“Data akan menjadi aset lebih bernilai pada masa hadapan berbanding minyak, justeru, industri penyimpanan data berteknologi tinggi merupakan pemacu penting ekonomi masa depan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, WD Sarawak memaklumkan glass substrate merupakan teknologi rakaman generasi baharu yang membolehkan kapasiti penyimpanan data lebih tinggi, sekali gus menyokong perkembangan pesat infrastruktur digital berasaskan kecerdasan buatan (AI).
-- BERNAMA