AS Sumbang RM1 Juta Bagi Projek Restorasi Tugu Negara
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) akan menyumbang RM1 juta bagi projek restorasi Tugu Negara, kata Kuasa Usaha Kedutaan AS, David H. Gamble Jr.
Beliau berkata sumbangan daripada kerajaan dan rakyat AS itu merupakan hadiah kepada Malaysia bersempena sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan negara yang ke-70 pada tahun depan.
Gamble menarik perhatian bahawa terdapat monumen yang serupa di Washington, D.C., iaitu Iwo Jima Memorial, dan kedua-dua monumen berkenaan direka oleh pengukir yang sama, sekali gus memperkukuh hubungan sejarah antara kedua-dua negara.
“Memandangkan terdapat persamaan yang ketara dan bagaimana kedua-dua monumen ini mengikat hubungan negara kita, kami telah merujuk perkara ini beberapa bulan lepas dan berjaya mendapatkan kelulusan untuk menyalurkan RM1 juta kepada Malaysia bagi pihak rakyat Amerika.
Ini bagi memastikan Tugu Negara bersedia untuk sambutan ulang tahun besar anda pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Resepsi Freedom 250 - Meraikan 250 Tahun Kemerdekaan Amerika, di sini hari ini.
Majlis sambutan Hari Kemerdekaan yang dihoskan oleh Kedutaan AS di Kuala Lumpur itu menghimpunkan para pemimpin kerajaan dan perniagaan Malaysia, rakan diplomatik, wakil masyarakat sivil, alumni serta rakan-rakan AS bagi meraikan suku milenium sejarah Amerika dan perkongsian erat AS-Malaysia yang berteraskan kebebasan, inovasi serta peluang.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, turut menghadiri majlis resepsi itu selaku tetamu kehormat.
Mengulas lanjut, Gamble berkata proses restorasi monumen nasional itu akan dilaksanakan oleh pihak Malaysia sambil menambah bahawa inisiatif berkenaan telah diselaraskan dengan Kerajaan Malaysia bagi memastikan sumbangan daripada rakyat Amerika itu dapat menyokong projek pemulihan yang memenuhi keperluan Malaysia.
Mengimbas kembali hubungan dua hala, Gamble menyifatkan hubungan antara AS dan Malaysia berada pada tahap yang amat dinamik dan berkembang pantas tahun ini.
“Ia bermula sebelum Presiden (Donald Trump) datang ke sini, malah sejak itu, semua peluang baharu ini terus terbuka untuk Malaysia dan Amerika Syarikat, saling memberi manfaat antara satu sama lain,” katanya.
Mengenai hubungan ekonomi, Gamble berkata walaupun perniagaan dan perdagangan AS telah beroperasi di Malaysia selama lebih seabad, perkongsian berkenaan menyaksikan pertumbuhan yang kukuh, terutamanya dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata AS kekal sebagai antara rakan dagang terbesar Malaysia, manakala perniagaan Amerika di negara ini telah menyokong pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Apabila anda melihat syarikat Amerika yang beroperasi di sini, tiada ribuan pekerja asing di sana. Ia dipenuhi oleh rakyat Malaysia, dan sememangnya begitulah sepatutnya.
Kami membawa sesuatu ke sini supaya ia menjadi perkongsian tulen yang memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak. Kami bukan di sini untuk menguasai keadaan. Kami di sini untuk menjadi rakan kongsi Malaysia,” katanya.
Acara kemuncak pada majlis berkenaan menampilkan tayangan perdana video muzik baharu dengan gubahan asli yang menggabungkan dua lagu patriotik popular, “America the Beautiful” dan “Tanah Pusaka”.
Video muzik itu meraikan semangat patriotisme bersama, kebanggaan nasional serta persahabatan yang kekal lama antara rakyat Amerika dan Malaysia melalui bahasa muzik yang universal.
Video berkenaan akan disiarkan buat kali pertama di saluran media sosial Kedutaan AS pada Jumaat, pukul 10 pagi.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: RTM Sedia Tawar Platform Dialog Antara Maszlee dan Onn Hafiz - Fahmi
- Polis Kesan Lelaki Bantu Siasatan Kes Bunuh Warga Asing
- Somnath Ghosh Dilantik Pesuruhjaya Tinggi Baharu India Ke Malaysia
- Pengukuhan Ringgit Dorong Eksport Malaysia Lebih Kompetitif Di Pasaran Luar Negara - MITI
- Penemuan Mayat Bekas Banduan Diklasifikasi Kes Mati Mengejut - Polis