Pengukuhan Ringgit Dorong Eksport Malaysia Lebih Kompetitif Di Pasaran Luar Negara - MITI
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Pengukuhan ringgit tidak menjejaskan prestasi perdagangan negara kerana sebahagian besar industri eksport Malaysia turut bergantung kepada input yang diimport, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kementerian itu menjelaskan ringgit yang lebih kukuh akan dapat mengurangkan kos import sekali gus dapat menurunkan kos pengeluaran.
“Kelebihan ini akan menjadikan eksport Malaysia lebih kompetitif dari segi harga di pasaran luar negara,” tambahnya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
MITI menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) mengenai sejauh mana pengukuhan ringgit memberi kesan kepada daya saing eksport Malaysia serta langkah mitigasi yang sedang diambil oleh kerajaan untuk membantu sektor eksport.
Kementerian itu menjelaskan perkara itu dibuktikan dengan pencapaian perdagangan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 dengan Malaysia tetap mencatat prestasi yang memberangsangkan meskipun ekonomi global menghadapi pelbagai cabaran dan ketidaktentuan terutama penutupan Selat Hormuz yang bermula sejak Februari 2026.
“Dalam tempoh tersebut, jumlah keseluruhan perdagangan negara mencatatkan peningkatan sebanyak 18.3 peratus kepada RM1.455 trilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.” tambah MITI.
Kementerian itu memaklumkan selain itu, eksport negara berkembang 24.3 peratus kepada RM793.84 billion manakal lebihan dagangan melonjak hampir tiga kali ganda, iaitu sebanyak 182.9 peratus kepada RM132.77 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Nilai lebihan dagang yang terus meningkat merupakan manifestasi daya saing eksport negara dalam landskap perdagangan global.
“Pencapaian ini disumbangkan oleh pelbagai faktor penting, antaranya dasar perdagangan antarabangsa Malaysia yang progresif, selari dengan status Malaysia sebagai sebuah negara dagang yang mendokong rejim perdagangan antarabangsa yang adil dan inklusif,” menurut MITI.
Di samping dasar perdagangan, faktor lain yang menyumbang terhadap pengukuhan eksport negara adalah koordinasi promosi eksport rentas kementerian melalui Jawatankuasa Koordinasi Eksport yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, tambahnya.
"Kerajaan dari semasa ke semasa akan memperkukuh daya saing eksport negara menerusi pendekatan yang pragmatik dan memandang ke hadapan dengan penglibatan aktif pemain industri," jelasnya.
Kementerian itu memaklumkan antara langkah tersebut adalah melalui pelaksanaan inisiatif strategik yang tepat, mempergiat kepelbagaian destinasi eksport negara ke pasaran bukan tradisional seperti Asia Tengah serta meneroka rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) baharu.
-- BERNAMA
Berita terkini
- PRN Johor: RTM Sedia Tawar Platform Dialog Antara Maszlee dan Onn Hafiz - Fahmi
- Polis Kesan Lelaki Bantu Siasatan Kes Bunuh Warga Asing
- Somnath Ghosh Dilantik Pesuruhjaya Tinggi Baharu India Ke Malaysia
- Pengukuhan Ringgit Dorong Eksport Malaysia Lebih Kompetitif Di Pasaran Luar Negara - MITI
- Penemuan Mayat Bekas Banduan Diklasifikasi Kes Mati Mengejut - Polis