03/07/2026 12:45 AM

PRN Johor: RTM Sedia Tawar Platform Dialog Antara Maszlee dan Onn Hafiz - Fahmi

MUAR, 2 Julai (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedia menawarkan platform siaran langsung bagi membolehkan sesi dialog interaktif diadakan sekiranya Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi setuju berdepan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sesi dialog itu boleh diadakan pada bila-bila masa dan di mana-mana lokasi yang dipersetujui, termasuk di Johor Bahru, dengan fokus kepada perbincangan mengenai hala tuju pembangunan serta masa depan Johor.

Pengarah Komunikasi PH itu berkata platform tersebut disediakan bukan bertujuan mengadakan perdebatan atau perbincangan politik kepartian sebaliknya memberi fokus sepenuhnya kepada ruang perkongsian idea mengenai hala tuju pembangunan Johor.

"Masa masih ada... kalau perlu, saya sedia untuk menyediakan di RTM TV1, pentas untuk Dr Maszlee dan Datuk Onn Hafiz berdialog... kita boleh berdialog dengan beradab dan saya percaya Onn Hafiz akan memberanikan diri untuk berdialog dengan Dr Maszlee," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan segelintir pihak supaya PH mengumumkan calon Menteri Besar terlebih dahulu sebelum bersetuju mengadakan sebarang perdebatan atau sesi dialog.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata keberanian berdepan perbezaan pandangan dan kritikan secara profesional merupakan ciri penting yang perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin demi kepentingan masa depan kemajuan negeri.

Beliau turut memuji keterbukaan Maszlee yang berani membuka ruang ke arah perbincangan interaktif bersama dengan 41 anak muda tempatan bagi membincangkan aspirasi masa depan Johor.

Mengulas mengenai penetapan tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 itu pada pertengahan bulan ini, Fahmi menyeru golongan pengundi muda untuk mengetepikan segala kekangan logistik dan bangkit menunaikan tanggungjawab demi menentukan hala tuju pembangunan Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pada PRN kali ini, Maszlee dicabar calon Barisan Nasional (BN) Teow Chia Ling, Nicholas Paul Vincent daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama), Rashifa Aljunied yang mewakili Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA) dan calon Bebas Wang Wee Seong dalam pertandingan lima penjuru.

Onn Hafiz, yang juga penyandang kerusi DUN Machap, pula mewakili BN berdepan calon PH Nor Hafiz Roslan dalam pertembungan satu lawan satu di kawasan berkenaan.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai ini manakala undi awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA