KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- redONE Mobile, telco komuniti Malaysia, memperkenalkan The ONE Prepaid, tawaran baharu bertujuan memberikan rakyat Malaysia pengalaman prabayar yang lebih mudah, fleksibel dan lebih banyak ganjaran.
Dalam satu kenyataan hari ini, redONE memaklumkan tawaran prabayar baharu itu menampilkan pendekatan “tidak rumit”, yang membolehkan pelanggan kekal berhubung dengan cara mudah, selain memberi lebih banyak peluang untuk memperoleh ganjaran di luar penggunaan perkhidmatan mudah alih.
“Konsep MORE Data dan MORE Value ditawarkan menerusi pelbagai pilihan yang tersedia, manakala pengalaman pelanggan menjadi MORE REWARDING melalui aplikasi redONE Prepaid.
“Pelanggan boleh mengumpul redCOINS dan menebusnya untuk mendapatkan ganjaran serta baucar, selain cabutan khas yang menawarkan peluang tambahan untuk memenangi ganjaran lebih besar,” menurut kenyataan itu.
Tawaran ini amat sesuai untuk golongan muda, khususnya pelajar yang mahukan akses kepada perkhidmatan mudah alih tanpa komitmen, manakala pelbagai pilihan yang disediakan juga membolehkan pelanggan memilih pelan berdasarkan keperluan penggunaan masing-masing tanpa terikat kepada satu tawaran sahaja.
Menurut redONE tawaran prabayar baharu itu bermula dengan pek permulaan RM8 yang menawarkan bonus pengaktifan percuma sebanyak 1 gigabait (GB) serta kredit percuma RM5, dengan pelanggan yang membuat pindahan nombor daripada penyedia lain turut menerima kredit percuma RM5 setiap bulan selama enam bulan.
Pelanggan akan mendapat akses kepada liputan 5G berkelajuan tinggi di seluruh negara dan boleh memilih daripada pelbagai pelan Internet mudah alih (MI) mengikut keperluan masing-masing.
Pelan ONE25 MI menawarkan 180GB pada harga RM25 untuk tempoh 30 hari, manakala pilihan lain bermula daripada RM3 untuk penggunaan harian hingga RM38 bagi pelan tahunan, sekali gus memberikan pelanggan lebih fleksibiliti berdasarkan corak penggunaan mereka.
“The ONE Prepaid turut memberi pelanggan peluang untuk meneroka lebih banyak tawaran bersama redONE Mobile. Pelanggan yang menaik taraf kepada pelan redONE Postpaid selepas enam bulan akan menerima telefon 5G secara percuma, memberikan manfaat tambahan apabila keperluan mereka terhadap perkhidmatan mudah alih berubah,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif redONE Farid Yunus berkata The ONE Prepaid memberi tumpuan kepada pengalaman lebih mudah dari awal lagi, selain menawarkan nilai tambah kepada pelanggan sepanjang mereka menggunakan perkhidmatan redONE Mobile.
“Inilah maksud sebenar The ONE Prepaid, memudahkan penggunaan perkhidmatan prabayar dari awal, sambil memberikan lebih nilai kepada pelanggan sepanjang pengalaman mereka bersama redONE Mobile,” katanya dalam kenyataan itu.
The ONE Prepaid kini boleh didapati di semua kedai redONE Mobile, termasuk kedai rakan niaga dan pengedar prabayar. Maklumat lanjut boleh didapati di redONEMobile.com.my.
-- BERNAMA
TAG: redONE, 5G prabayar, The ONE Prepaid, mudah alih
ENKJ RMBA SZJ