02/07/2026 11:51 PM

Somnath Ghosh Dilantik Pesuruhjaya Tinggi Baharu India Ke Malaysia

HYDERABAD, 2 Julai (Bernama) -- Bekas Penolong Pesuruhjaya Tinggi India ke Bangladesh, Somnath Ghosh, dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi India yang baharu ke Malaysia.

Kementerian Hal Ehwal Luar India dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Ghosh, yang kini berkhidmat sebagai Konsul Jeneral di Chicago, dijangka memulakan tugasnya di Malaysia dalam tempoh terdekat.

Beliau menggantikan B. Nagabhushana Reddy yang baru sahaja menyelesaikan tempoh penugasannya selama hampir lima tahun di negara ini.

Ghosh merupakan pegawai Perkhidmatan Luar India (IFS) bagi kumpulan 1997 dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting, termasuk berkhidmat sebagai Duta ke Mongolia antara 2014 hingga 2016, disusuli tugas diplomatik sebagai Duta ke Tajikistan.

Menurut profil rasmi beliau, Ghosh pemegang ijazah Sarjana Sains (M.Sc) dari Institut Teknologi India di Kanpur serta fasih bertutur dalam bahasa Benggali, Hindi, Inggeris dan Rusia.

Ketika bertugas di Bangladesh, tanggungjawab konsular beliau merangkumi wilayah Chittagong dan Sylhet.

Beliau juga pernah mengendalikan urusan kerjasama antarabangsa di Kementerian Pertahanan dari September 2019 hingga September 2022, dan atas kapasiti itu, beliau menyelia dasar pertahanan serta rundingan dengan Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Britain dan negara-negara jiran India.

-- BERNAMA