02/07/2026 07:45 PM

Sekolah Boleh Tunggu – Tuchel Mahu Penyokong Berjaga Untuk England

ATLANTA (Georgia), 2 Julai (Bernama-PA Media/dpa) -- Jurulatih Thomas Tuchel menyeru keluarga-keluarga agar mengutamakan bola sepak berbanding persekolahan apabila England menentang Mexico dalam pusingan 16 terakhir Piala Dunia pada awal pagi Isnin waktu England, lapor PA Media/dpa.

Kemenangan ke atas Republik Demokratik Congo pada Rabu mengesahkan pertemuan dengan penganjur bersama, Mexico, di Mexico City yang akan bermula pada 1 pagi waktu United Kingdom (0000 GMT), sekali gus dijangka menjejaskan jumlah penonton televisyen yang berkesempatan menyaksikannya.

Sebelum ini, menjadi kebiasaan untuk pihak sekolah dan majikan membenarkan perlawanan England pada peringkat kalah mati kejohanan utama ditayangkan sekiranya bertembung dengan waktu bekerja atau persekolahan, namun aksi yang bermula pada awal pagi Isnin ini memberikan cabaran unik.

“Tulis surat untuk beri sebab kepada pihak sekolah dan biarkan mereka menonton bola sepak,” rayu Tuchel selepas dua gol lewat Harry Kane membantu England melepasi pusingan 32 terakhir di Atlanta.

“Ayuhlah. Banyak lagi masa untuk ke sekolah, tetapi Piala Dunia hanya diadakan empat tahun sekali. Biarkan mereka menonton.

Akan ada perlawanan yang amat besar dalam masa empat hari lagi dan kami memerlukan sokongan daripada semua orang, terutamanya daripada kanak-kanak,” katanya.

England sebelum itu hampir berdepan antara tersingkir paling memalukan dalam sejarah Piala Dunia selepas ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi gol Brian Cipenga, yang bermain dalam divisyen dua Sepanyol.

Bagaimanapun, mereka diselamatkan oleh dua gol lewat yang luar biasa daripada Kane, sekali gus mengatur pertemuan sengit di stadium altitud tinggi menentang penganjur bersama di Stadium Azteca.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa