Penduduk Di Bukit Bertam Bantah Projek Ladang Ayam Baharu
SELAMA, 2 Julai (Bernama) -- Penduduk di Bukit Bertam membantah projek pembinaan ladang ternakan ayam tertutup di Kampung Batu 6 di sini kerana dibimbangi akan memburukkan lagi masalah lalat, bau dan pencemaran di kawasan itu.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 6 Ramli Ahmad berkata bantahan dibuat selepas mengetahui cadangan projek itu ketika kerja-kerja pembersihan tapak dimulakan pada Mei lepas.
"Penduduk mengemukakan surat bantahan kepada beberapa agensi termasuk Majlis Daerah Selama (MDS), Ahli Parlimen Larut, Ahli Dewan Undangan Negeri Selama, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak dan Pejabat Menteri Besar,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ramli berkata dalam pertemuan dengan MDS, penduduk dimaklumkan bahawa permohonan kebenaran merancang bagi pembinaan empat unit reban ayam tertutup di Lot 1380, Kampung Batu 6 diluluskan pada 14 Mac 2025.
Beliau berkata kawasan Kampung Batu 6 dan Batu 7 telah diwartakan sebagai zon penternakan ayam dan unggas di bawah Rancangan Tempatan Daerah Selama 2030 namun perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepada penduduk.
"JPV dalam lawat siasat pada 18 Feb 2025 mendapati jarak antara tapak cadangan ladang dengan kawasan penempatan penduduk hanya 194.47 meter, iaitu kurang daripada jarak penampan minimum 300 meter bagi ladang ayam tertutup sepertimana garis panduan Jabatan Alam Sekitar.
“Jarak ini terlalu dekat dan kami bimbang masalah lalat, bau dan pencemaran akan menjadi lebih buruk... kami sudah lama berdepan gangguan dari ladang ayam sedia ada dan tidak mahu masalah itu berulang dengan pembinaan ladang baharu,” katanya.
Wakil penduduk Kampung Batu 6, Zurani Alias, 56, pula berkata mereka berharap projek itu dibatalkan demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
“Kawasan ini sudah mempunyai dua ladang ayam dan sebuah ladang itik... jika sebuah lagi ladang dibina, kami bimbang masalah lalat dan bau akan menjadi lebih serius terutama ketika musim penuaian ternakan.
"Bukan itu sahaja, operasi ladang ayam sedia ada menyebabkan gangguan bunyi pada waktu malam selain menjejaskan keselesaan penduduk," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata projek berkenaan telah melalui proses perancangan serta penelitian teknikal oleh agensi berkaitan sebelum kelulusan diberikan.
Beliau berkata pihaknya komited memastikan projek itu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan selain mengambil kira pandangan semua pihak, khususnya penduduk setempat.
Susulan bantahan pada Julai 2025, Ng berkata beberapa sesi perbincangan diadakan bersama penduduk dan pihak pemaju selain beberapa keperluan tambahan turut dikenakan bagi meneliti aspek sosial serta langkah mitigasi yang berkaitan.
“Sehubungan itu, MDS akan mengadakan satu lagi sesi libat urus esok bagi membolehkan semua pihak mengemukakan pandangan, mendapatkan penjelasan serta meneliti keadaan dan perkembangan terkini projek tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Polis Kesan Lelaki Bantu Siasatan Kes Bunuh Warga Asing
- Somnath Ghosh Dilantik Pesuruhjaya Tinggi Baharu India Ke Malaysia
- Pengukuhan Ringgit Dorong Eksport Malaysia Lebih Kompetitif Di Pasaran Luar Negara - MITI
- Penemuan Mayat Bekas Banduan Diklasifikasi Kes Mati Mengejut - Polis
- AS Sumbang RM1 Juta Bagi Projek Restorasi Tugu Negara