Lapan Sami Terkorban Lori Pikap Rempuh Kumpulan Penziarah Keagamaan
BANGKOK, 2 Julai (Bernama) -- Lapan sami Buddha terkorban manakala 14 yang lain cedera selepas sebuah lori pikap yang dipandu oleh seorang remaja bawah umur merempuh sekumpulan sami yang sedang dalam perjalanan keagamaan di Wilayah Mukdahan, timur laut Thailand pada Khamis.
Pihak berkuasa Mukdahan memaklumkan bahawa kumpulan sami berkenaan sedang berjalan kaki untuk ke Daerah Nam Khun di wilayah jiran, Ubon Ratchathani apabila kemalangan itu berlaku, mengorbankan lima sami di tempat kejadian manakala tiga lagi yang cedera parah meninggal dunia di hospital.
Ketua Kesihatan Awam Wilayah Mukdahan Dr Narong Chankaew berkata empat mangsa mengalami cedera parah manakala 10 lagi mengalami cedera ringan.
Beliau berkata secara keseluruhan seramai 23 pesakit yang terdiri daripada 22 sami dan seorang orang awam telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
Gabenor Mukdahan Warayan Boonnarat berkata siasatan awal mendapati kumpulan sami berkenaan memulakan perjalanan kira-kira 11 pagi dan berjalan menentang arus trafik di Jalan Ban Na Si Nuan di Daerah Mueang, selaras dengan amalan keselamatan pejalan kaki.
Warayan berkata saksi memaklumkan pihak berkuasa bahawa lori pikap berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
Lima sami yang berada di kedudukan paling hadapan sempat mengelak kenderaan itu, namun ia merempuh baki kumpulan sami lain yang sedang berjalan kira-kira dua meter dari pinggir jalan.
Komander Polis Wilayah Mukdahan Mejar Jeneral Polis Phairoj Thaiputra berkata pemandu kenderaan itu, yang berusia di bawah 15 tahun, telah ditahan.
Beliau berkata penyiasat sedang mengumpul bukti dan menyoal siasat ibu bapa pemandu terbabit bagi menentukan punca sebenar kemalangan, sambil menambah tindakan undang-undang akan diambil sewajarnya.
"Polis juga sedang mempertimbangkan sama ada ibu bapa remaja itu boleh berdepan pertuduhan cuai kerana membenarkan pemandu bawah umur menggunakan kenderaan berkenaan," katanya.
Susulan kemalangan itu, Hospital Mukdahan telah merayu sumbangan darah daripada orang ramai bagi membantu rawatan mangsa yang cedera.
-- BERNAMA