Malaysia Terus Main Peranan Perkukuh ASEAN Sebagai Komuniti Berdaya Tahan - PM
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Malaysia akan terus memainkan peranan konstruktif dalam memperkukuh ASEAN sebagai sebuah komuniti yang berdaya tahan, inklusif dan mampu memenuhi aspirasi rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata komitmen itu dizahirkan ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn selepas menyampaikan ucaptama dan menghadiri sesi soal jawab pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 di sini hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan keutamaan kesatuan itu dalam mendepani landskap geopolitik dan ekonomi yang semakin mencabar.
“Kami juga menyentuh perkembangan di Myanmar, situasi di Laut China Selatan, kemajuan kecerdasan buatan, pascapenyertaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045 serta implikasi konflik di Asia Barat terhadap rantau ini,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa ASEAN mesti terus berpegang kepada prinsip perpaduan, pemusatan dan kerjasama yang erat agar rantau ini kekal aman, stabil serta makmur.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: BN Harap Sokongan PAS Di Kerusi Bersatu
- PRN Johor: Amirul Huzni Pertaruh Semangat Anak Muda Di Sedili
- Sarawak Alu-Alukan Tambahan Geran Khas Jika Fiskal Persekutuan Mengizinkan - Abang Johari
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Susulan Permintaan Terhadap Aset Selamat
- Sekolah Boleh Tunggu – Tuchel Mahu Penyokong Berjaga Untuk England