Lebih 60 Peratus Aset Tldm Berusia Lebih 40 Tahun, Perlu Diganti Berperingkat
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Lebih 60 peratus aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berusia melebihi 40 tahun, sekali gus menimbulkan cabaran kepada kesiapsiagaan operasi dan keperluan penggantian secara berperingkat menerusi Pelan Transformasi TLDM 15 to 5.
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain berkata keadaan itu memberi tekanan kepada TLDM dalam menguruskan armada yang semakin berusia, namun kapal-kapal berkenaan masih perlu digerakkan bagi melaksanakan operasi mempertahankan perairan negara.
"Lebih daripada 60 peratus aset kita berusia lebih daripada 40 tahun. Ini adalah satu cabaran kepada TLDM pada masa ini dalam menguruskan armada yang semakin berusia.
"Kita mempunyai enam operasi yang memerlukan kapal digerakkan 24 jam sepanjang tahun. Kapal yang usang ini masih perlu ke laut dan perkara itu merisaukan pihak kepimpinan kerana keadaannya tidak lagi seperti ketika mula beroperasi," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Ulang Tahun Ke-53 Kumpulan Pertama Kapal Kelas Perdana Combatante di sini hari ini.
Beliau berkata kebanyakan penyelenggaraan kini lebih bersifat pembaikan selepas kerosakan berbanding penyelenggaraan pencegahan selain berdepan kesukaran mendapatkan alat ganti.
Mengenai empat kapal Kelas Perdana Combatante yang masih beroperasi selepas lebih 50 tahun, beliau berkata ia membuktikan keberkesanan budaya penyelenggaraan TLDM.
Beliau berkata kapal berkenaan kini ditukar fungsi daripada kapal pelancar misil kepada kapal rondaan berikutan keusangan sistem dan kelengkapan.
Zulhelmi berkata TLDM melaksanakan program pengurusan keusangan aset bagi KD Perdana dan KD Ganyang untuk memastikan integriti badan kapal dapat dipertingkat, sekali gus membolehkan ia terus beroperasi antara 10 hingga 15 tahun lagi sebagai langkah sementara sebelum digantikan.
Dalam pada itu, beliau berkata pemodenan aset TLDM diteruskan mengikut kemampuan kewangan kerajaan menerusi Pelan Transformasi TLDM 15 to 5, dengan perolehan kapal Sokongan Logistik Pelbagai Peranan (MRSS) dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), manakala perolehan kapal selam dijangka dipertimbangkan dalam RMK14.
Mengenai projek MRSS, beliau berkata ia telah diluluskan kerajaan di bawah RMK13 dan kini berada pada peringkat penilaian cadangan oleh syarikat terlibat sebelum proses memuktamadkan perolehan dilaksanakan.
“Projek ini akan dilaksanakan dalam RMK13 dan mungkin berlanjutan ke RMK14. Kita memerlukan dua MRSS dalam RMK13, namun sasaran di bawah Pelan Transformasi TLDM 15 to 5 ialah tiga buah, dengan kapal ketiga dibina dalam negara,” katanya.
Beliau berkata beberapa negara telah mengemukakan cadangan pembekalan MRSS dan ia sedang diteliti.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: BN Harap Sokongan PAS Di Kerusi Bersatu
- PRN Johor: Amirul Huzni Pertaruh Semangat Anak Muda Di Sedili
- Sarawak Alu-Alukan Tambahan Geran Khas Jika Fiskal Persekutuan Mengizinkan - Abang Johari
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Susulan Permintaan Terhadap Aset Selamat
- Sekolah Boleh Tunggu – Tuchel Mahu Penyokong Berjaga Untuk England