02/07/2026 06:03 PM

Pasaran Getah Ditutup Rendah

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Khamis, didorong oleh harga minyak mentah yang rendah dan niaga hadapan getah serantau yang lemah, kata peniaga.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent menurun 1.13 peratus kepada US$70.76 setong.

Beliau berkata harga minyak menurun apabila peniaga terus menilai risiko yang berkurangan terhadap bekalan minyak mentah dari Asia Barat, dengan jangkaan bekalan meningkat memberi impak kepada pasaran walaupun ketidaktentuan geopolitik berlarutan.

“Niaga hadapan getah Jepun merosot berikutan penurunan mendadak dalam prospek jualan kenderaan di China yang menjejaskan prospek permintaan manakala kejatuhan harga minyak kepada paras terendah sejak Mac menambah lagi tekanan kepada pasaran,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh jualan kenderaan di Amerika Syarikat (AS) yang berdaya tahan dan permintaan kukuh untuk kenderaan hibrid dan elektrik, dengan pengeluar kereta melaporkan jualan pada suku kedua stabil walaupun keadaan yang lazimnya tidak menggalakkan bagi perniagaan kereta.

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) menurun 5.5 sen kepada 860.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot empat sen kepada 746 sen sekilogram.

-- BERNAMA