01/07/2026 03:15 PM

PRN Johor: Pertembungan Strategi Hibrid, Dominasi Maya vs Sentuhan Fizikal Jadi Taruhan

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Corak kempen pilihan raya kini berubah daripada pendekatan tradisional berasaskan ‘politik balai raya’ kepada strategi hibrid yang menggabungkan gerak kerja lapangan dan pengaruh media sosial bagi meraih sokongan pengundi.

Penganalisis politik berpandangan meskipun platform digital semakin dominan dalam membentuk persepsi awal pengundi, kempen konvensional masih kekal relevan khususnya dalam memperkukuh kepercayaan di peringkat akar umbi.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Nazreena Mohammed Yasin berkata tiada satu formula kempen yang boleh dianggap paling berkesan kerana setiap kawasan mempunyai ekosistem pengundi yang berbeza.

Katanya kawasan bandar yang mempunyai kadar penembusan internet tinggi lebih sesuai menggunakan kempen digital bagi penyebaran maklumat secara pantas, manakala kawasan luar bandar masih memerlukan kehadiran fizikal calon untuk membina hubungan lebih dekat dengan pengundi.

“Meskipun kempen maya menawarkan kos lebih rendah dan capaian lebih luas menerusi pelbagai bentuk multimedia, ia tetap berdepan risiko lambakan maklumat serta penularan berita palsu,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, kempen bersemuka mempunyai kelebihan tersendiri kerana membolehkan calon menerima maklum balas secara langsung daripada komuniti, walaupun menuntut komitmen masa dan kos yang lebih tinggi.

Nazreena berkata keberkesanan kempen tidak lagi boleh diukur berdasarkan data tontonan digital semata-mata, sebaliknya perlu dinilai secara menyeluruh termasuk kekuatan jaringan akar umbi dan keupayaan mempengaruhi corak pengundian sebenar.

“Memandangkan pengundi kini memperoleh maklumat daripada pelbagai saluran, pendekatan terbaik adalah menggabungkan kedua-dua kaedah secara konsisten bagi memaksimumkan sokongan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Norman Sapar berkata parti politik dan calon kini tidak lagi mempunyai pilihan selain memperkukuh kehadiran digital bagi memastikan pengaruh mereka terus relevan.

Beliau yang juga penulis buku Persepsi: Perang Politik Media Sosial berkata aktiviti fizikal kini turut berfungsi sebagai bahan kandungan untuk dimuat naik ke platform digital bagi memperluas impak kempen.

“Data menunjukkan lebih 95 peratus pengundi aktif di media sosial, manakala kumpulan pengundi berusia 18 hingga 40 tahun sahaja merangkumi hampir 60 peratus.

“Trend beberapa pilihan raya kebelakangan ini juga menunjukkan ramai pengundi sudah membuat keputusan lebih awal sebelum tempoh kempen rasmi bermula berdasarkan penilaian mereka di platform digital,” katanya.

Beliau berkata landskap politik digital kini turut mengubah pola pengundian apabila semakin ramai pengundi membuat keputusan secara individu tanpa lagi terikat dengan pengaruh keluarga atau ketua isi rumah.

Dalam pada itu, calon yang bertanding turut mula mengadaptasi pendekatan hibrid menerusi gerak kerja lapangan khususnya bagi menarik sokongan pengundi muda.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Mohd Fakharuddin Moslim berkata beliau menggunakan strategi ‘serampang dua mata’ memandangkan jumlah pengundi muda di kawasan itu agak signifikan.

Katanya walaupun media sosial menjadi medium utama, pendekatan sentuhan peribadi masih penting bagi mendekati komuniti luar bandar dan penempatan FELDA yang lebih selesa mengenali calon secara berdepan.

Bagi memperkukuh interaksi, beliau merancang melancarkan siri siaran audio (podcast) dalam masa terdekat sebagai medium baharu berkomunikasi dengan pengundi.

Senada dengan itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Pasir Raja, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pihaknya turut mengoptimumkan kempen bersemuka di Pusat Daerah Mengundi (PDM) berskala besar bagi mendekati aspirasi pengundi muda.

“Bagi memperkukuh penyampaian maklumat, saya turut menggerakkan jentera penerangan parti menerusi TikTok, Facebook, Instagram serta media arus perdana yang masih menjadi rujukan masyarakat,” katanya.

Calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi DUN Bukit Batu, M. Premanand pula berkata media sosial berfungsi sebagai pelengkap komunikasi untuk penyampaian maklumat pantas, manakala turun padang memberi ruang kepada calon mendengar sendiri isu sebenar dihadapi rakyat.

PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA