Pemuda Cacat Penglihatan Tidak Sabar Mengundi Pada PRN Johor
BATU PAHAT, 30 Jun (Bernama) -- Biarpun hidup dalam dunia tanpa cahaya sejak lahir, ia sedikit pun tidak memadamkan semangat Mohd Hairol Leman untuk terus menunaikan amanah sebagai pemilih bagi menentukan masa depan Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 bulan depan.
Bagi lelaki berusia 46 tahun itu, statusnya sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan bukan penghalang untuk beliau sentiasa melaksanakan tanggungjawab demokrasi, malah menyifatkan mengundi sebagai amanah wajib yang tidak boleh diabaikan oleh setiap warganegara.
Mohd Hairol yang tinggal di Kampung Sri Pantai, Senggarang berkata beliau tidak pernah terlepas peluang mengundi sejak 2008 kerana menyedari setiap mandat yang diberikan amat berharga dalam mencorak masa depan rakyat dan negeri.
“Saya mula mengundi pada 2008, ketika itu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan sejak itulah saya akan mengundi apabila tibanya musim pilihan raya sama ada PRU atau PRN dengan dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“PRN kali ini merupakan pengalaman keenam saya mengundi dan saya anggap memilih pemimpin yang mampu menjaga rakyat adalah amat penting,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera Barisan Nasional (BN) Bahagian Batu Pahat di Rengit di sini, hari ini.
Mohd Hairol yang merupakan penerima manfaat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), turut menzahirkan harapan agar barisan kepimpinan yang dipilih kelak terus memperkasakan kebajikan golongan sepertinya.
Beliau bertekad untuk terus mengundi sebagai tanda menghargai jasa pemimpin terdahulu yang banyak membantu golongan OKU menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan sara hidup.
"Saya tidak sabar untuk sekali lagi menunaikan tanggungjawab saya pada 11 Julai nanti," katanya.
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Kawalan Penjualan Diesel Di Sabah, Sarawak, Labuan Dibatal Mulai Esok
- PM Britain Tingkat Peruntukan Pertahanan Dengan Pakej Tambahan US$20 Bilion
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Kebimbangan Peningkatan Pengeluaran
- Tiada Bayaran Insentif Pengeluaran Getah Untuk Jun 2026 -- LGM
- Majlis Pendidikan Negara Pacu Pembaharuan Sistem Pendidikan - PM Anwar