29/06/2026 07:34 PM

Calon PH Tekad Pertahan Dun Tangkak, Pastikan Projek Pusat Pentadbiran Daerah Direalisasi

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

TANGKAK, 29 Jun (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak Ee Chin Li bertekad untuk memastikan projek Pusat Pentadbiran Baharu Daerah Tangkak yang tertangguh sekian lama dapat direalisasikan sepenuhnya bagi memacu sosioekonomi penduduk setempat.

Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu berkata beliau komited untuk memastikan agenda pembangunan di atas tanah warta seluas 80.9 hektar itu menjadi kenyataan demi kemudahan urusan harian masyarakat di daerah berkenaan.

Ee, 44, yang juga lulusan Universiti of Taipei, Taiwan berkata rancangan bersepadu itu bakal menempatkan kompleks jabatan kerajaan, hab komersial serta komponen perumahan mampu milik, sekali gus memudahkan penduduk tanpa perlu lagi ke daerah lain bagi urusan rasmi.

"Sekiranya PH dapat menubuh kerajaan baharu di Johor, saya akan memastikan projek pusat pentadbiran baru daerah Tangkak ini dapat direalisasikan tetapi dengan cara yang berlainan sepertimana yang telah dirancang tetapi tidak dilaksanakan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, Ee meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk di Taman Ria di sini menerusi sesi tinjauan mesra dari rumah ke rumah.

Mengulas lanjut, Ee berkata hab pentadbiran tersebut amat kritikal bagi menamatkan kesulitan penduduk luar bandar yang terpaksa keluar dari daerah Tangkak hingga ke Muar atau Jasin, Melaka untuk urusan rasmi bersama agensi kerajaan.

Beliau berkata ia juga selari dengan usaha PH memperkasakan pembangunan lebih seimbang di kawasan Johor utara dan Johor tengah. 

Mula berkecimpung dalam arena politik bersama DAP sejak 2001, Ee yang kini bertanding bagi penggal keempat sejak memenangi kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013, turut memegang peranan sebagai Penyelaras DAP bagi kawasan Parlimen Ledang.

Beliau kemudian mempertahankan kerusi itu pada PRN Johor lepas dengan majoriti tipis 372 undi dalam saingan lima penjuru, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan Bebas.

Menyentuh mengenai persaingan pada PRN kali ini, Ee menyifatkan pencabarnya daripada BN, Haw Chin Teck sebagai seorang peguam berwibawa dan aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata keharmonian politik di kawasan itu diterjemahkan menerusi hubungan sihat antara kedua-dua pihak yang mengamalkan persaingan "gaya kampung" yang matang serta profesional.

"Kita berkempen dengan berhemah, secara profesional... kita tak nak membuat kecohlah. Itu yang paling penting sebab ini demokrasi yang kita amalkan di Malaysia," katanya. 

Beliau menambah strategi gerak kerjanya sepanjang tempoh berkempen adalah selari dengan seruan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua jentera bekerja keras dan turun padang menyantuni pengundi dari rumah ke rumah.

PRN Johor ke-16 menyaksikan Ee berdepan persaingan satu lawan satu menentang Haw di DUN Tangkak yang mempunyai 36,955 pengundi berdaftar. 

PRN Johor ke-16 akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai pilihan raya itu, layari https://prn.bernama.com/johor 

-- BERNAMA

 

N10: TANGKAK - 36,955 pengundi

1. Haw Chin Teck (BN-MCA)

2. Ee Chin Li    (PH-DAP)

(2022: Ee Chin Li: PH-DAP: Maj: 372)