Gabungan Muka Lama, Baharu Strategi PH Menangi Hati Pengundi Pada PRN Johor - Teo
JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Penampilan gabungan seimbang antara calon berpengalaman dan muda oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan strategi untuk memenangi hati pengundi di negeri itu.
Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching berkata PH khususnya DAP menampilkan calon yang mempunyai kekuatan tersendiri daripada pelbagai latar belakang umur dan pengalaman untuk bertanding di 17 kerusi.
Beliau memberi contoh penyertaan semula calon berpengalaman seperti penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng dan penyandang kerusi DUN Tangkak, Ee Chin Li yang masing-masing bertanding untuk penggal keempat di kawasan berkenaan.
Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Hati Stulang di sini hari ini, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai dan Timbalan Menteri Komunikasi berkata penglibatan calon berpengalaman penting untuk membimbing barisan muka baharu yang diketengahkan parti itu di beberapa kerusi strategik.
Langkah berkenaan, katanya membuktikan DAP dan PH mempunyai barisan pemimpin pelapis yang mampu untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada 11 Julai nanti.
"Jadi barisan calon DAP menunjukkan bahawa pertama, memang betul kita kemukakan banyak muka baharu… pada masa yang sama, kami juga amat-amat menghargai calon senior yang berpengalaman,” katanya.
Teo berkata formula gabungan antara calon “senior” dan “junior” itu akan membentuk sebuah pasukan yang mantap demi memastikan kelangsungan khidmat bakti PH di negeri ini berjalan lancar.
“Ini adalah satu barisan yang boleh bagi perkhidmatan yang paling baik untuk komuniti di Johor dan juga di kawasan masing-masing," katanya.
Sehubungan itu, beliau menaruh harapan tinggi agar pengundi di semua kawasan yang ditandingi PH dapat terus memberikan sokongan padu kepada barisan calon yang ditawarkan demi masa depan Johor yang lebih baik.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Ahli Parlimen Gesa Langkah Lebih Tuntas Tangani Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak
- JKNS Perjelas Isu Perkhidmatan, Kemudahan Hospital Queen Elizabeth
- Niaga Hadapan Emas Bursa Malaysia Ditutup Rendah Seiring Kelemahan Pasaran COMEX
- TEC Lancar Pusat Latihan Qualcomm Academy, Sasar Latih 20,000 Individu Dalam AI Dan 5G
- 253 Individu Ditahan Dalam Ops Tapis Khas Di Terengganu