PRN Johor: Gabungan Calon Berpengalaman, Muka Baharu Pilihan Terbaik BN - Mohamed Khaled
KLUANG, 28 Jun (Bernama) -- Pendekatan Barisan Nasional (BN) menampilkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai pilihan terbaik bagi berdepan cabaran pentadbiran yang semakin kompleks.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dakwaan BN banyak mempertaruhkan calon "kitar semula" perlu dilihat dalam konteks keperluan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pengalaman dalam pentadbiran negeri.
Beliau berkata meletakkan keseluruhan calon baharu ibarat melakukan percubaan yang berisiko, terutama dalam situasi semasa yang memerlukan pemimpin berpengalaman untuk mengurus pelbagai cabaran.
"Kita harus ingat bahawa keadaan yang kita hadapi sangat kompleks. Kalau kita beri (tampilkan) semua calon baharu, itu seperti kita melakukan percubaan. Kita tidak mampu.
"Jadi, atas sebab itulah yang terbaik ialah adanya gandingan antara calon baharu dengan lama," katanya kepada pemberita pada Karnival Hari Keluarga Kita Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di X Park Impiana 2 Square, Bandar Seri Impian di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata pengalaman merupakan elemen penting dalam memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan berkesan sebaik sahaja diberi mandat oleh rakyat.
Menurut beliau, BN tidak sekadar menampilkan calon baharu untuk memenuhi persepsi tertentu, sebaliknya mengutamakan kemampuan calon melaksanakan tugas dan tanggungjawab apabila dipilih.
"Kita bukannya hendak mempamerkan semua calon baharu, kemudian apabila menang tidak tahu hendak bermula dari mana. Yang penting ialah keupayaan untuk bekerja dan memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil bagi menghadapi pelbagai cabaran semasa serta meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang.
Beliau berkata pilihan raya seharusnya menjadi platform bagi rakyat memilih kerajaan yang mampu membawa keadaan yang lebih baik, selaras dengan matlamat demokrasi.
Mohamed Khaled berkata hanya BN dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai keupayaan untuk membentuk kerajaan negeri berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi pada PRN Johor.
Berdasarkan penamaan calon yang berlangsung semalam, BN dan PH masing-masing bertanding di 56 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menerusi PAS dan Bersatu hanya bertanding sebanyak 27 kerusi.
"Kalau kita lihat kepada hasil pencalonan, hanya ada dua gabungan yang mampu membentuk kerajaan negeri iaitu BN dan PH. PAS bertanding 11 kerusi dan Bersatu 16 kerusi, jumlahnya 27, dicantumkan kedua-duanya pun tidak boleh membentuk kerajaan negeri," katanya.
Dewan Undangan Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan pada 1 Jun lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Julai ini bagi hari pengundian awal, manakala 11 Julai sebagai hari mengundi.
Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Di PONTIAN, Timbalan Pengerusi BN Johor Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pemilihan kesemua 56 calon itu dibuat berdasarkan penilaian rapi yang menggabungkan pelbagai kategori termasuk muka baharu, berpengalaman, wanita serta belia.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata BN turut menampilkan calon daripada golongan teknokrat dan profesional merangkumi pelbagai kepakaran seperti peguam, doktor dan jurutera.
"Kita ada keyakinan yang tinggi kerana calon yang dihamparkan kepada rakyat adalah (dinilai) dari pelbagai sudut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Komuniti Meh Lah Pontian: Kelana Keringat Sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata kesemua 56 calon berkenaan mempunyai kekuatan dan kredibiliti masing-masing untuk dinilai serta dipilih oleh rakyat.
PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
Berita terkini
- 16 Warden Bekas ATM Bertugas Di Lapan MRSM Mulai 1 Julai
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Sembilan Negeri Hingga 1 Pagi
- MIDA Meterai Lima MoU Pelaburan Asing Dari Empat Negara Sepanjang 2023-2025 - MITI
- Kedutaan Venezuela Mohon Sokongan Dana Pemulihan Gempa Bumi
- MITI, MIDA Lulus 5,899 Projek Perkilangan Sepanjang 2020-2025, Sedia Lebih 502,000 Pekerjaan