Politik 27/06/2026 01:51 PM

PRN Johor: Pembangunan Infrastruktur, Kesejahteraan Rakyat Fokus Calon PH DUN Permas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Johor: Pembangunan Infrastruktur, Kesejahteraan Rakyat Fokus Calon PH DUN Permas
Calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Permas Baharudin Mohamed Taib bersama pencabarnya (dari kanan) T. Vela mewakili Perikatan Nasional, Dr Zamil Najwah dari Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dan Sharon Teo (Pakatan Harapan) pada proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Dewan Muafakat Taman Mawar, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) -- Pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan rakyat menjadi agenda utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua Wanita Muda (Warda) Amanah Johor itu berkata perkara berkenaan merupakan antara isu yang sering dibangkitkan penduduk setempat setiap kali turun padang ke kawasan berkenaan sebelum ini.

“Saya akan beri perhatian soal kualiti jalan raya di sekitar DUN ini kerana ia pastinya melibatkan keselamatan awam,” katanya ketika ditemui Bernama selepas proses penamaan calon di Dewan Muafakat, Taman Mawar di sini hari ini.

Teo yang berpengalaman berkhidmat di Parlimen Pulai, yang ketika itu disandang bekas Timbalan Presiden Amanah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beliau akan melancarkan manifestonya merangkumi visi dan misi perkhidmatan kepada pengundi DUN Permas dalam masa terdekat.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Permas daripada Barisan Nasional (BN) Baharudin Mohamed Taib menjangkakan saingan sengit bagi mempertahankan mandat yang dimenanginya pada PRN Johor 2022.

“Masing-masing ada kebolehan tersendiri, saya tidak boleh anggap enteng sahaja cabaran mereka. Saya pun perlu bekerja kuat untuk pastikan kemenangan BN. Ya, ini  bukan kerja mudah,” katanya.

Mengenai tawaran kepada pengundi, Baharudin berkata beliau tidak akan melancarkan manifesto peribadi sebaliknya berpandukan kepada “Manifesto Tekad BN Johor” yang telah diperkenalkan kepada pengundi.

DUN Permas menyaksikan saingan empat penjuru melibatkan Sharon Teo, Baharudin, T. Vela daripada Perikatan Nasional (PN) serta Dr Zamil Najwah yang mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Terletak dalam Parlimen Pasir Gudang, DUN Permas mempunyai sebanyak 113,963 pengundi yang layak mengundi pada PRN kali ini. 

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA