27/06/2026 01:50 PM

172 Calon Layak Bertanding PRN Johor - SPR

JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sebanyak 172 calon daripada pelbagai parti politik layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas proses penamaan calon selesai di 56 pusat penamaan calon hari ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata sebanyak 172 kertas penamaan calon diterima dan disahkan layak bertanding selepas tempoh penyerahan kertas penamaan ditutup pada 10 pagi, selain tiada pencalonan ditolak.

“Bilangan calon yang bertanding mengikut jantina ialah 138 calon lelaki dan 34 calon wanita,” katanya pada sidang media hari ini.

Pecahan calon mengikut parti menyaksikan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing mempertaruhkan 56 orang calon, Perikatan Nasional (33), Parti Bersama Malaysia (15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (empat), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang manakala Bebas (enam).

Ramlan berkata sebanyak 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu, 27 DUN (tiga penjuru), 12 DUN (empat penjuru) dan tiga DUN (lima penjuru).

Selain itu, Ramlan berkata calon tertua pada PRN Johor kali ini berusia 73 tahun daripada PN yang bertanding di DUN Stulang, manakala calon termuda berumur 23 tahun daripada PH di di DUN Johor Lama.

Bagi statistik julat umur calon, sembilan orang berusia antara 21 hingga 29 tahun, diikuti 38 calon (30-39 tahun), 50 calon (40-49 tahun), 48 calon (50-59 tahun) dan 27 calon berusia lebih 60 tahun.

Beliau berkata tempoh berkempen bermula secara rasmi hari ini hingga 11.59 malam, 10 Julai, dengan sebanyak 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) ditubuhkan bagi memantau semua aktiviti calon.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor turut mengaktifkan lima bilik gerakan yang beroperasi 24 jam sepanjang tempoh PRN bermula hari ini hingga 12 Julai bagi memantau sebarang aktiviti salah guna kuasa.

“Sebarang aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh berkempen juga boleh disalurkan menerusi e-mel di aduan.prnjohor2026@sprm.gov.my,” katanya.

Ramlan turut mengingatkan semua calon supaya menjelaskan deposit bahan kempen dan mematuhi undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan pameran serta pengedaran bahan kempen yang memaparkan gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti diwakili.

“Bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding,” katanya.

Selain itu, bahan kempen yang berunsur hasutan, perkauman, menyentuh sensitiviti agama atau berpotensi menimbulkan kebencian dan permusuhan adalah tidak dibenarkan.

SPR juga berharap aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan ditetapkan.

PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA