Politik 27/06/2026 11:37 AM

Maszlee Malik Hadapi Persaingan Lima Penjuru Di DUN Puteri Wangsa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Maszlee Malik Hadapi Persaingan Lima Penjuru Di DUN Puteri Wangsa
Calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik (tengah) bergambar bersama para pencabarnya dari Barisan Nasional Teow Chia Ling (kanan), calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Rashifa Aljunied (dua, kanan), calon Parti Bersama Malaysia Nicholas Paul Vincent (kiri) dan calon Bebas Wang Wee Siong (dua, kiri) selepas proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato' Onn hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) -- Bekas Menteri Pendidikan dan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Maszlee Malik akan berhadapan persaingan lima penjuru dalam usahanya untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

Beliau akan bersaing dengan Rashifa Aljunied daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Teow Chia Ling (Barisan Nasional), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan Wang Wee Siong (Bebas).

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Zulkurnain Abdul Rahmanse selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato’ Onn, hari ini.

DUN Puteri Wangsa disandang oleh Amira Aisya Abd Aziz daripada MUDA, namun beliau tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

DUN berkenaan mempunyai jumlah pengundi keseluruhan 128,723 yang merangkumi 128,525 pengundi biasa dan 198 pengundi anggota polis dan pasangan.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA