27/06/2026 11:27 AM

PRN Johor: Saingan Empat Penjuru Di DUN Permas

PASIR GUDANG, 27 Jun (Bernama) -- Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Permas Abd Majid Sapihe mengumumkan senarai calon yang layak bertanding di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Muafakat, Taman Mawar di sini selepas proses penamaan calon ditutup sepenuhnya pada 10 pagi tadi.

Penyandang kerusi DUN Permas Baharudin Mohamed Taib dari BN bakal dicabar Sharon Teo (PH),  T. Vela (PN) serta Dr Zamil Najwah daripada Bersama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Julai ini. 

Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA