PRN Johor: Pentas Pertandingan Hampir Lengkap Menjelang Penamaan Calon Esok
Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) -- Kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semakin terasa apabila hampir kesemua parti politik utama telah selesai mengumumkan calon masing-masing bagi menghadapi persaingan di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kurang 24 jam sebelum penamaan calon esok, BN dan PH muncul sebagai gabungan parti yang meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN, sekali gus memperlihatkan persaingan antara kedua-dua pihak dalam PRN kali ini.
PH muncul gabungan terawal mengumumkan calon apabila DAP terlebih dahulu memperkenalkan lima calon, diikuti seorang calon PKR, sebelum baki calon diumumkan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis di Bukit Gambir, Isnin lepas.
PH mempertaruhkan 56 calon yang terdiri daripada 20 calon PKR, 19 Amanah dan 17 DAP.
Selain itu, MUDA turut mempertaruhkan empat calon, termasuk di kerusi tunggal dimenangi mereka pada PRN lepas, Puteri Wangsa.
BN yang bertanding secara solo pada PRN ini dalam usaha untuk kembali mentadbir kerajaan negeri pula mengumumkan senarai calonnya pada Rabu lepas, menampilkan gabungan muka lama dan baharu membabitkan 37 calon UMNO, 15 MCA dan empat MIC.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan 33 calon melibatkan 16 daripada Bersatu, 11 PAS, lima Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) dan seorang daripada Pejuang.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempertaruhkan calon tunggal, Amir Syafiq Ameer Soekre, 40, di kerusi Skudai.
Parti Bersama pula dijadual mengumumkan senarai calon serta melancarkan jentera kempennya malam ini, sekali gus melengkapkan persiapan parti utama menjelang hari penamaan calon esok.
Penganalisis politik berpendapat, walaupun beberapa parti lain turut bertanding, namun landskap pertandingan sebenar lebih menjurus kepada saingan dua gabungan parti politik utama, BN dan PH, selepas kedua-duanya meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata tumpuan dijangka terarah kepada beberapa kerusi panas yang menyaksikan pertembungan calon berpengaruh, khususnya di kawasan yang dimenangi dengan majoriti kecil pada pilihan raya lalu.
Terdapat tujuh kerusi ‘kritikal’ dengan majoriti kurang 1,000 pengundi, iaitu Bukit Batu-PH (137), Bukit Pasir-BN (198), Parit Yaani-BN (294) Tangkak-PH (372), Serom-BN (699), Bukit Kepong-PN (710) dan Jementah-PH sebanyak 714 undi.
Beliau berkata antara kerusi yang turut menjadi tumpuan ialah Puteri Wangsa, yang menyaksikan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dipertaruhkan PH bagi memenangi kerusi berkenaan, dan dijangka berdepan saingan daripada Teow Chia Ling (BN), Rashifah Aljunie (MUDA) dan calon Bersama yang akan diumum malam ini.
“Cakap-cakap” politik menyatakan Maszlee bakal diketengahkan oleh PH sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan parti itu memenangi PRN Johor kali ini, menambah minat pemerhati terhadap persaingan di kerusi panas itu.
Turut menjadi perhatian pada PRN ini adalah DUN Bukit Kepong yang menyaksikan bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal mewakili PN dijangka berdepan antaranya calon BN Ahmad Syar’e Yusof dan calon PH C. Subramani.
“Selain itu, DUN Machap juga menarik perhatian apabila Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dicabar calon muda PH yang juga seorang peguam, Nor Hafiz Roslan, ” kata Mazlan ketika dihubungi.
Kemunculan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di kerusi yang pernah disandangnya dua penggal, DUN Pasir Raja, turut dijangka mewarnai pentas PRN kali ini, selain pertembungan antara Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat dan penyandang Mohd Hairi Mad Shah.
Amanah turut membuat kejutan menarik apabila meletakkan satu-satunya calon berbangsa Cina di DUN Permas, menerusi Ketua Wanita Amanah Negara (Warda) Johor, Sharon Teo Siew Hui.
Mazlan berkata kadar keluar mengundi dijangka menjadi faktor paling penting dalam menentukan keputusan PRN Johor kali ini, terutama membabitkan pengundi muda dan pengundi atas pagar.
“Turnout (kehadiran keluar mengundi) yang tinggi lazimnya mampu mengubah corak keputusan di kerusi-kerusi marginal. Sebab itu, keupayaan parti menggerakkan penyokong keluar mengundi akan menjadi antara penentu utama kemenangan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok, 27 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai.
Tempoh berkempen selama 14 hari bermula sebaik sahaja proses penamaan calon selesai dan dijangka menyaksikan persaingan sengit di beberapa kerusi tumpuan melibatkan BN, PH, PN serta parti-parti lain yang turut menawarkan calon.
Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan seramai 2,727,926 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/ .
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- REHDA Malaysia Lantik Zaini Yusoff Presiden Baharu Penggal 2026-2028
- MyCreative Perkukuh Industri Kreatif, Pacu Agenda Ekonomi Jingga Malaysia
- Nigel Wong Dipilih Semula Sebagai Presiden MATTA
- MAIPk Peruntuk RM470,000 Taja Belia Asnaf Ikuti Program Kemahiran Perkapalan
- Bina Puri Dapat Kelulusan Prinsipal Daripada Pembiaya Bagi Skim Penstukturan Semula