BUKIT MERTAJAM, 29 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melupuskan 58,941 unit barang rampasan bernilai lebih RM3.15 juta, membabitkan pelbagai kesalahan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata barang rampasan berkenaan, melibatkan kes yang telah selesai melalui proses pendakwaan dan pengkompaunan.
“Antara barangan yang dilupuskan ialah pelbagai jenama pakaian, beg dan aksesori wanita, alat ganti kenderaan, aksesori motosikal, alatan jentera, produk makanan, produk penjagaan kesihatan serta aksesori dan peranti elektronik berjenama tiruan.
“Pelupusan itu melibatkan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak di sini hari ini.
Daripada keseluruhan nilai pelupusan RM3.15 juta itu, beliau berkata RM1.86 juta merupakan nilai barang kes yang dimusnahkan, manakala RM193,371.23 ialah hasil jualan barang kawalan yang dijadikan hasil kerajaan.
Jegan memaklumkan jumlah itu turut merangkumi RM53,923.08 hasil jualan barang kawalan yang dikembalikan, RM1.03 juta hasil jualan kes barang kawalan semasa serta RM4,400 hasil jualan secara sebut harga atau tender barang rampasan.
Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini, sebanyak 58,805 pemeriksaan dijalankan dan 761 kes direkodkan membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan RM4.85 juta.
“Sebanyak 565 kes dikenakan kompaun berjumlah RM591,100, manakala 12 kes dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda RM94,500,” katanya.
Beliau berkata KPDN Pulau Pinang akan terus memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan undang-undang termasuk berkaitan bekalan dan harga, antipencatutan, ketirisan barang kawalan, barangan tiruan, halal, sewa beli, skim antipiramid, jualan langsung serta penipuan dalam talian.
-- BERNAMA