Am 29/09/2026 01:11 PM

Menteri Sumber Manusia Dahului Senarai 767 Penerima Darjah Kebesaran Kelantan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Menteri Sumber Manusia Dahului Senarai 767 Penerima Darjah Kebesaran Kelantan

KOTA BHARU, 29 Sept (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan mengetuai senarai 767 penerima darjah kebesaran dan pingat bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang ke-57.

Ramanan dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.

Turut dianugerahkan SJMK ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi Eksekutif Silkway Group Datuk Daniyar Kessikbayev dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Le Mercier's Capital Datuk Leon Emil Le'Mercier.

Secara keseluruhannya 45 individu dianugerahkan gelaran Datuk dalam istiadat penganugerahan yang berlangsung di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Turut menerima gelaran Datuk ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, yang masing-masing dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK).

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan Malaysia Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman dianugerahkan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK).

Enam individu dianugerahkan Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) termasuk Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail, Group CEO Rising Promenade Sdn Bhd Datuk Farisah Mohd Farid, Pengarah Haji Ali Homes Sdn Bhd Muhammad Ridzwan Shamsudin, Honorary Consul Honorary Consulate of Gambia (Malaysia) Tengku Shamsulbhari Tengku Azman Shah, Bendahari Dewan Muslimat PAS Kelantan Wan Ubaidah Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Chetok Zuraidin Abdullah.

Selain itu, tujuh individu dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) antaranya Pengarah Syarikat Asianmax Corporation Sdn Bhd Lim Yoke Eng, Pengarah Mahligai E&c Sdn Bhd Mohd Zaid Osman dan Medical Director Ampang Medical Practice Datuk Dr K. K Prakash Rao.

Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) kepada Asisten Ketua Staf D/A Markas Tentera Darat, Bahagian Perisikan (G2) Mejar Jeneral Faridhulathroth Hashim.

Panglima Bahagian Operasi dan Latihan, Markas Angkatan Tentera Malaysia Mejar Jeneral Mohamad Nizam Abdul Manap, Panglima Pejabat Panglima Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia Mejar Jeneral Mohd Shauari Mat Piah, Ketua Pengarah Markas Tentera Darat Sekretariat Brigedier Jeneral Muhammad Fauzi Abu Bakar, Komander Artileri Divisyen Markas Artileri Divisyen 2 Divisyen Brigedier Jeneral Zamri Mat Esa dan Panglima Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia Mejar Jeneral Zamsari Abu Hasan masing-masing dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK).

Sebanyak 12 individu menerima anugerah Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) antaranya Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia Profesor Datuk Dr Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, Setiausaha Bahagian Kementerian Pendidikan Tinggi Azhar Mohamad Yusof, Hakim Mahkamah Tinggi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Mahazan Mat Taib, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan Dr Siti Fairus Zakaria.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir Persiaran Rimba Permai Marenawati Abd Malek, Pengarah Yayasan Islam Kelantan Shamsul Abu Bakar, Naib Presiden (Perancang Bandar) Jabatan Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya Datin Salmah Salman dan Pensyarah Universiti Pusat Genom Malaysia, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Profesor Dr Zilfalil Alwi masing-masing dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK).

Penerima tunggal Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman Datuk Mohd Hairuddin Che Hamid.

Sebanyak 12 individu dilantik sebagai Jaksa Pendamai.

-- BERNAMA