26/06/2026 01:44 PM

PRN Johor: Hujan Dijangka Di Kebanyakan Daerah Pada Hari Penamaan Calon

Oleh Muhammad Fais Baharin

JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) -- Hujan diramalkan melanda sebahagian besar daerah di negeri ini pada pagi esok, sekali gus dijangka memberikan sedikit 'cabaran' buat bakal calon dan penyokong pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Johor Azlai Ta’at berkata cuaca tersebut diramalkan berlaku di Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Kota Tinggi, Pontian, Tangkak dan Kulai.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan berbeza di daerah Segamat, Kluang dan Mersing yang diramalkan mengalami cuaca cerah pada sebelah pagi.

“Suhu minimum di seluruh negeri dijangka antara 24 hingga 25 darjah Celsius, manakala suhu maksimum di antara 31 hingga 34 darjah Celsius, dengan Segamat mencatatkan suhu tertinggi mencecah 34 darjah Celsius.

“Orang ramai termasuk penyokong calon yang bertanding dinasihati untuk sentiasa cakna dengan sebarang perubahan cuaca,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, ribut petir pula dijangka 'mengiringi' pembukaan tempoh berkempen yang akan bermula secara rasmi sejurus tamat proses penamaan calon esok.

MetMalaysia meramalkan ribut petir berlaku di Johor Bahru, Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Mersing dan Kulai pada sebelah petang, manakala Batu Pahat dan Tangkak dijangka hujan, sementara cuaca panas diramalkan di Muar.

Proses penamaan calon PRN Johor dijadualkan berlangsung bermula 9 hingga 10 pagi esok di 56 pusat penamaan calon (PPC) yang telah ditetapkan, sebelum pengumuman rasmi calon yang layak bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang melibatkan 20 calon daripada PKR, Amanah (19) dan DAP (17).

Barisan Nasional (BN) pula bertanding di kesemua kerusi DUN menampilkan 36 calon UMNO, 16 calon MCA serta empat calon MIC.

Perikatan Nasional (PN) turut mengumumkan PAS akan bertanding di 11 kerusi DUN, Bersatu (16), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) manakala Pejuang satu kerusi. 

Sementara itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertanding empat kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu calon serta kemunculan sulung Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dijangka bertanding 15 kerusi DUN.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan pada 1 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Julai ini bagi hari pengundian awal, manakala 11 Julai sebagai hari mengundi.

Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan seramai 2,727,926 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/ .

-- BERNAMA