Peneroka Felda Johor Akhiri Penantian Berdekad, Isu Hak Milik Selesai
KLUANG, 24 Jun (Bernama) -- Penerimaan geran hak milik kebun dan kediaman seluas hampir 4.2 hektar di Felda Kahang Timur di sini dianggap sebagai hadiah hari lahir paling bermakna buat peneroka, Muhammad Awi Ahmad, yang akan menyambut ulang tahun ke-75 hari ini.
Muhammad Awi berkata dia pernah membuat tiga permohonan bagi mendapatkan hak milik kekal tanah yang diterokainya sejak 1986, dengan permohonan pertama dibuat pada 1990 dan kali kedua pada 2000, namun kedua-duanya tidak berjaya.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata usaha berkenaan akhirnya membuahkan hasil selepas kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya menyelesaikan permohonannya dalam tempoh kira-kira setahun.
“Kebimbangan saya sudah tiada lagi kerana bermula hari ini, bersempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-75, tanah yang saya usahakan sekian lama kini menjadi hak milik saya sendiri,” katanya kepada Bernama.
Muhammad Awi berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Hakmilik Peneroka Felda Johor kepada 210 penerima dari Kluang, Kota Tinggi dan Mersing di Dewan Dato’ Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, di sini semalam yang dihadiri Onn Hafiz.
Sementara itu, anak Muhammad Awi yang mewakili generasi kedua FELDA, Norliyani Muhammad Awi, 25, berkata penyerahan geran hak milik kekal itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah yang sekian lama membelenggu peneroka.
Dia berkata sekiranya isu itu tidak diselesaikan, kebimbangan yang dihadapi generasi pertama peneroka akan terus diwarisi generasi kedua, ketiga dan seterusnya.
“Mungkin generasi pertama FELDA masih mempunyai kampung asal untuk kembali, tetapi bagi kami generasi kedua dan ketiga, inilah kampung halaman kami dan kami tidak mempunyai tempat lain untuk dituju.
“Kebimbangan kami sekiranya perkara ini tidak diselesaikan, tanah yang diusahakan keluarga kami selama ini mungkin suatu hari nanti menjadi milik pihak lain, dan bukannya atas nama ibu bapa kami,” katanya.
Bagi Mohd Farhan Mohamad, 43, penantian selama hampir dua dekad untuk mendapatkan hak milik tanah akhirnya berakhir apabila permohonannya diluluskan tahun ini.
Penduduk Felda Pasak, Kota Tinggi itu berkata dia mula memohon hak milik kekal pada 2006 bagi meneruskan hasrat bapanya, Mohamad Masek, 66, yang telah meneroka tanah rancangan berkenaan sejak 1980-an.
“Kali terakhir saya dan ayah membuat permohonan pada tahun lepas dan kami tidak menyangka ia akhirnya diluluskan,” katanya.
Sehingga kini sebanyak 99.9 peratus atau 27,639 daripada 27,642 peneroka Felda di negeri ini yang membuat permohonan telah menerima hak milik geran.
– BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Piala Dunia FIFA 2026 Platform Kukuhkan Kerjasama & Persahabatan - Duta Mexico
- Tiga Termasuk Remaja Ditahan, Dadah Lebih RM120,000 Dirampas
- Kerajaan Komited Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam, Tarik Pelabur Rusia Ke Malaysia
- Tourism Malaysia, KL Hop-On Hop-Off Lancar Kempen Pelancongan Domestik Sempena TMM2026
- Demam Piala Dunia Semarakkan Diplomasi Sukan Di Stadium Merdeka