JIM Tutup Sementara Kaunter Pasport Di 71 Cawangan Secara Berfasa Mulai 26 Jun
PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menutup sementara kaunter perkhidmatan pasport di 71 cawangan pejabat pengeluar pasport di seluruh negara secara berfasa bagi memberikan laluan kepada kerja penyelenggaraan sistem.
JIM dalam hantaran menerusi media sosial memaklumkan sepanjang tempoh penutupan itu, urusan permohonan pasport di kaunter, permohonan menerusi MyOnline Pasport serta percetakan pasport di cawangan yang terlibat tidak dapat dilaksanakan.
Menurut jabatan itu, penutupan sementara berkenaan akan membabitkan beberapa fasa dengan Fasa 1 dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 30 Jun ini.
Pejabat pengeluar pasport yang terlibat dalam Fasa 1 ialah Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Jalan Duta, Melaka, Kelana Jaya serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Selain itu, sembilan pejabat di Pusat Transformasi Bandar (UTC), iaitu di UTC Puduraya, Selangor, Johor Bahru, Pasir Gudang, Seremban, Ipoh, Kedah, Sungai Petani dan Seberang Perai turut ditutup.
"Orang ramai dinasihatkan untuk merancang urusan pasport lebih awal dan merujuk saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia untuk maklumat lanjut," menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Perancis Benam Iraq 3-0 Selepas Perlawanan Disambung Semula
- Dua Lelaki Cedera Parah Terbabit Pergaduhan Dua Kumpulan
- PM Bangladesh Komited Bekerjasama Erat Dengan Anwar, Perkukuh Pelbagai Bidang Perkongsian
- Sunway Peroleh Tapak Kediaman S$750.57 Juta Di Singapura
- MetMalaysia Keluarkan Nasihat Taufan Mekkhala