23/06/2026 08:13 PM

PM Bangladesh Komited Bekerjasama Erat Dengan Anwar, Perkukuh Pelbagai Bidang Perkongsian

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hal ini bagi mengukuhkan lagi perkongsian dalam pelbagai bidang dengan Malaysia, kata beliau ketika mengakhiri lawatan negara pertama sebagai perdana menteri pada Isnin.

Tarique berkata Bangladesh sangat menghargai hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan Malaysia, menonjolkan hubungan rakyat dengan rakyat yang mengikat kedua-dua negara merentasi pelbagai sektor dan seluruh lapisan masyarakat.

“Saya dan isteri, Dr Zubaida Rahman, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya yang ramah, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, atas sambutan dan layanan mesra mereka yang luar biasa.

“Kami amat terharu dengan persahabatan, budi bahasa dan semangat muhibah yang dihulurkan oleh kerajaan Malaysia serta rakyatnya yang mesra,” katanya menerusi catatan Kementerian Luar Bangladesh di X.

Tarique berkata perbincangan dengan Anwar juga memperkukuh ikatan antara Bangladesh dan Malaysia yang melangkaui komitmen bersama untuk kerjasama lebih luas, kemakmuran dan kemajuan serantau.

“Ini ialah hubungan yang dihargai sejak beberapa dekad sejak bapa saya Shaheed Presiden Ziaur Rahman menjadi Presiden dan ibu saya Begum Khaleda Zia sebagai Perdana Menteri Bangladesh,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kerana meluangkan masa dan atas kemesraan baginda semasa pertemuan itu.

-- BERNAMA